Home Ekonomi Perbelanjaan perlindungan alam sekitar meningkat 7%

Perbelanjaan perlindungan alam sekitar meningkat 7%

Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Pemain industri di Malaysia membelanjakan RM2.89 bilion bagi tujuan perlindungan alam sekitar pada 2019 iaitu 7.0 peratus lebih tinggi berbanding nilai yang dibelanjakan pada 2018.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdasarkan Laporan Survei Perbelanjaan Perlindungan Alam Sekitar 2020 yang dikeluarkannya, prestasi itu sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan modal yang meningkat pada kadar pertumbuhan dua digit sebanyak 18.0 peratus.

Perbelanjaan operasi pula mencatatkan pertumbuhan sederhana 3.0 peratus pada 2019, menurut DOSM dalam kenyataan pada Rabu.

Ia menjelaskan survei ini menunjukkan perbelanjaan operasi merupakan penyumbang terbesar dengan 70.3 peratus, manakala 29.7 peratus dibelanjakan untuk perbelanjaan modal.

Perbelanjaan perlindungan alam sekitar telah meningkat 28.6 peratus sejak 2014, menurutnya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengurusan pencemaran mendominasi perbelanjaan perlindungan alam sekitar sebanyak RM2.02 bilion atau 70.1 peratus.

Beliau berkata ia diikuti oleh pengurusan sisa, RM751.7 juta (26.1 peratus) serta penilaian dan caj alam sekitar, RM64.9 juta (2.3 peratus).

“Sektor pembuatan kekal mendominasi perbelanjaan perlindungan alam sekitar pada 2019, dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM2.18 bilion atau 75.6 peratus manakala sektor perkhidmatan berbelanja RM413.8 juta (14.3 peratus) dan pembinaan RM161.2 juta (5.6 peratus),” katanya.

Menurut DOSM, di peringkat negeri pula, Johor mencatatkan perbelanjaan perlindungan alam sekitar tertinggi pada 2019 iaitu RM678.5 juta, diikuti Selangor (RM543.5 juta) dan Kuala Lumpur (RM292.6 juta).

Tiga negeri ini menyumbang kepada 52.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan, jelasnya. – MalaysiaGazette