Home Nasional Hantar 14,000 bakul makanan bantu penduduk Labuan terjejas Covid-19

Hantar 14,000 bakul makanan bantu penduduk Labuan terjejas Covid-19

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat 2,500 unit bakul makanan yang akan disumbangkan kepada penduduk Wilayah Persekutuan Labuan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika di Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Subang Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 24 JUN 2021.

SHAH ALAM – Sebanyak 2,500 daripada kesemua 14,000 unit bakul makanan kepada penduduk Wilayah Persekutuan Labuan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, bantuan itu bagi memenuhi keperluan penduduk di sana yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Saya berharap agar penduduk di Labuan yang ramai terkesan disebabkan Covid-19 dapat terus bersabar. Kita akan terus membantu sedaya upaya supaya mereka juga akan mendapat manfaat daripada bakul makanan yang kita bagi hari ini.

“Untuk permulaan, KPWKM cuba melengkapi apa yang telah pun dihantar oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini,” katanya pada sidang media di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini.

Terdahulu Rina meninjau proses penghantaran 2,500 bakul makanan daripada KPWKM yang diterbangkan menggunakan pesawat TUDM.

Dalam pada itu, Perbadanan Labuan dan KWP sebelum memaklumkan sebanyak 14,000 bakul makanan diperlukan bagi memenuhi keperluan keluarga yang terjejas dalam beberapa kawasan di Labuan ketika ini.

Petugas Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) membawa masuk 2,500 unit bakul makanan yang akan disumbangkan kepada penduduk Wilayah Persekutuan Labuan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ke dalam pesawat TUDM ketika di Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Subang Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 24 JUN 2021.

“Baki bakul makanan berjumlah 11,500 unit pula akan dihantar menggunakan kaedah pengangkutan laut pada Sabtu ini. Sebab itu dalam menangani isu ini kita perlu bersama dan bekerjasama dengan pihak TUDM, NGO dan agensi-agensi lain akan kita teruskan,” katanya.

Rina juga sedia mempertimbangkan keperluan semasa penduduk Labun terhadap barang-barang lain termasuk untuk kegunaan warga emas dan bayi.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyelaraskan sekiranya ada permintaan khusus contohnya lampin pakai buang, susu bayi dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TUDM yang melakukan penerbangan ihsan bagi menghantar bantuan makanan itu kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana bakul makanan ini diterbangkan dengan penerbangan ihsan TUDM dan kami pertama kali bekerjasama dengan pihak TUDM.

“Sudah banyak kali bantu pihak kementerian dalam menerbangkan bakul-bakul makanan khususnya yang jauh di Sabah dan Sarawak.

“Kita akan terbangkan 14,000 kotak dan ini bukan hanya daripada kementerian, sebelum ini pun Kementerian Wilayah Persekutuan telah menerbangkan bantuan sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bakul makanan terpaksa masak sendiri berbeda makanan untuk pati filipino dan pati indon ada chef tukang masak gratis aja di depot imigresen dong.

Comments are closed.