Home Nasional KWP perkenal lima inisiatif, bantu rakyat mendepani Covid-19

KWP perkenal lima inisiatif, bantu rakyat mendepani Covid-19

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menambah lima inisiatif bagi meneruskan agenda prihatin rakyat dengan membantu warga Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mendepani pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) 3.0.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaksanaan inisiatif ini juga selaras dengan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

“Biarpun berhadapan dengan kedudukan ekonomi dan kewangan yang begitu mencabar, rakyat tetap menjadi keutamaan terutama kumpulan rentan. Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan.

“Beberapa inisiatif KWP juga bertujuan meredakan cabaran dihadapi warga Wilayah Persekutuan untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika PKP 3.0,” katanya pada sidang media khas, baru-baru ini.

Penangguhan Bayaran Balik Pembiayaan PPR MTEN/ PA DBKL

Menurutnya, KWP bersetuju memberi penangguhan semula bayaran balik pinjaman perumahan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi PPR MTEN/PA DBKL selama enam bulan kepada 6,444 peminjam bermula Julai hingga Disember 2021.

“Ia melibatkan pengecualian hasil kepada YWP berjumlah RM10.9 juta (RM10,898,472.24),” katanya.

Pengurangan 50 peratus Bayaran Sewa Bulanan PPR MTEN/ PA DBKL

Seramai 38,124 penyewa rumah PPR MTEN/PA DBKL dan 457 penyewa Perumahan Awam milik Perbadanan Labuan (PL) akan diberikan pengurangan 50 peratus bagi bayaran sewa bulanan bermula Jun hingga Disember ini.

“Ia melibatkan pengecualian hasil kepada kerajaan berjumlah RM17 juta, di mana RM16.58 juta untuk perumahan DBKL dan Perbadanan Labuan pula RM376,127.50,” katanya.

Rebat Cukai Taksiran DBKL & Perbadanan Putrajaya (PPj) 2021

Sebagai inisiatif tambahan bagi membantu menyokong kelangsungan perniagaan, DBKL dan PPj akan memberi rebat cukai taksiran tahun 2021 kepada premis perniagaan komersial.

“Sebanyak 783 premis di Kuala Lumpur akan mendapat manfaat daripada rebat cukai taksiran 2021 ini yang melibatkan 24 institusi pengajian tinggi swasta, 666 hotel dan 93 pusat membeli-belah dengan pengecualian hasil berjumlah RM23.51 juta.

“Manakala, rebat cukai taksiran PPj 2021 bagi bangunan komersial dan perindustrian di Putrajaya pula sebanyak 10 peratus yang melibatkan pengecualian hasil kepada PPj sebanyak RM1,514,130.50,” katanya.

Penangguhan Bayaran Cukai Taksiran 2021 DBKL, PPj & PL

Selain itu, semua pemilik premis kediaman dan komersial di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diberi penangguhan bayaran cukai taksiran sehingga Disember 2021.

“Pengecualian penalti denda lewat bagi cukai taksiran tertunggak bagi tahun 2020 dan 2021 pula akan memberi manfaat kepada semua pemilik kediaman dan premis komersial di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – MalaysiaGazette