Home Seni Hidup MYDIN bantu komuniti daftar vaksin Covid-19

MYDIN bantu komuniti daftar vaksin Covid-19

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

KUALA LUMPUR – Menyedari situasi negara yang sedang berdepan dengan Covid-19, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) tampil melancarkan kempen MyVaksin.

Ia bagi memberi kesedaran kepada umum khasnya pelanggan untuk mendaftar.

Usaha itu mendapat sokongan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang merupakan inisiatif sosial bagi membantu mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) agar segera mencapai tahap imuniti kelompok.

Pendaftaran dijangka bermula dari 21 Jun sehingga 20 Julai depan melalui aplikasi MySejahtera antara pukul 9 pagi sehingga 6 petang di kaunter khidmat pelanggan di 47 cawangan MYDIN seluruh negara.

Menariknya, MYDIN juga tampil dengan cara tersendiri bagi menarik umum mendaftar vaksin termasuklah menawarkan kad keahlian Meriah yang bernilai RM12 secara percuma.

Para pelanggan boleh menikmati tawaran harga istimewa ahli dan mengumpul mata ganjaran selain berpeluang mendapat ganjaran menarik serta kelebihan tawaran rakan niaga.

Tidak cukup dengan itu, MYDIN turut berkerjasama dengan syarikat e-dompet terkemuka tempatan Boost dengan 20 ribu pendaftar vaksin yang berjaya bakal menerima sub e- dompet Boost x MYDIN bernilai RM5.

Pelanggan hanya perlu memuat turun aplikasi Boost di telefon pintar mereka dan berbelanja serendah RM50 bagi menikmati tawaran ini.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya cukup teruja dan merasakan inisiatif itu adalah tanggjawab korporat sosial yang wajib bagi membantu negara menghadapi pandemik ini.

Malah kata beliau, hakikatnya peranan yang dimainkan oleh semua permain industri pastinya akan mengurangkan bebanan pandemik yang sedang dihadapi oleh pihak berkuasa.

“Ini merupakan tanggungjawab sosial korporat kita bagi membantu kerajaan dan negara untuk segera mencapai imuniti kelompok. Tiada apa yang perlu dirisaukan untuk semua rakyat mendaftar dan mengambil vaksin Covid-19.

“Saya sendiri telah menerima dos vaksin yang pertama dan saya berasa lega kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai masyarakat yang prihatin.

“Semua kakitangan MYDIN sendiri dipastikan agar segera mendaftar kerana kami merupakan barisan hadapan ekonomi yang berdepan pelbagai risiko setiap hari,” katanya.

Jelas Dr Ameer lagi, MYDIN menerima kunjungan lebih daripada 60 juta pengunjung setahun yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya B-40.

“Selain menjadi sebagai medium komunikasi, kami percaya pelanggan kami adalah golongan sasaran yang perlu diberi perhatian bagi menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat dan seterusnya mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

“Kami berharap usaha kecil ini mampu memberi impak dan sumbangan besar kepada usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” ujarnya.

Pendaftaran boleh dibuat disemua kaunter khidmat pelanggan cawangan yang terlibat. Program pendaftaran ini mengikut pematuhan Operasi Prosedur Standard (SOP) ketat.

Pelanggan dan orang ramai boleh merujuk laman media sosial rasmi MYDIN Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program MyVaksin.-MalaysiaGazette