KUALA LUMPUR – Pelajar Malaysia wajib memenuhi syarat kelayakan minimum kemasukan yang ditetapkan sekiranya ingin melanjutkan pelajaran perubatan di tujuh universiti di Mesir.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berkata, sekiranya syarat kemasukan minimum tidak dipenuhi mereka mungkin berhadapan masalah untuk berdaftar bersama MPM.
Menurutnya, MPM menerima pemakluman berhubung pengurangan tempoh pengajian dari enam tahun kepada lima tahun pengajian bagi kesemua tujuh universiti Mesir yang diiktiraf oleh pihaknya seperti yang tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).
Ia diputuskan dalam mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia (MPM) ke-407 pada 22 Jun lepas menetapkan syarat kelayakan minimum sekurang-kurangnya lepasan matrikulasi/asasi/prauniversiti atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/A-Level atau lain-lain peperiksaan yang setara dengannya.
MPM, menurut Dr. Noor Hisham, juga akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan universiti-universiti berkenaan daripada senarai universiti yang diiktiraf dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sekiranya perkara itu berlanjutan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru pihaknya meminta kerjasama semua pihak terutamanya badan pemberi biasiswa atau bantuan pendidikan untuk memastikan syarat itu dipatuhi supaya sebarang kesulitan dapat dielakkan bagi pelajar untuk berdaftar dengan MPM selepas tamat pengajian.
Dalam kenyataan berasingan, MPM telah mengiktiraf dua jenis kelayakan kepakaran perubatan bagi tujuan pendaftaran pakar di dalam National Specialist Register (NSR).
Pertama, kelayakan dalam negara yang ditawarkan oleh Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) tempatan awam atau swasta.
“Bagi kelayakan ini, PPT perlulah berdaftar bersama KPT dan program latihan kepakaran perubatan ini diakreditasi oleh MQA menggunakan Malaysian Standards for Medical Specialist Training sebelum diiktiraf oleh MPM.
Kedua, kelayakan luar negara sama ada yang ditawarkan sepenuhnya di negara asal ataupun secara kerjasama dengan PPT tempatan.
“Bagi kelayakan yang dijalankan sepenuhnya di negara asal kelayakan, proses akreditasi oleh MQA tidak diperlukan kerana program ini adalah di bawah badan akreditasi negara masing-masing.
“Bagi kelayakan yang ditawarkan secara kerjasama dengan PPT tempatan melalui program latihan kepakaran perubatan dalam negara pula, perlulah melalui proses yang sama seperti kelayakan tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat kelayakan luar negara yang diiktiraf MPM seperti mana yang dikenali sebagai “Parallel Pathways” di bawah kelolaan pihak KKM.
Pihak KKM terlibat dalam menyediakan kemudahan kepada calon-calon “Parallel Pathways” ini dari segi penyediaan slot latihan kepakaran berkaitan, seliaan on-the-job training dan bantuan kewangan kepada mereka sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan luar negara ini.
Mesyuarat bersama telah bersetuju untuk mengesyorkan supaya semua program latihan kepakaran perubatan yang ditawarkan dalam negara oleh PPT perlu berdaftar bersama KPT dan melalui proses akreditasi, ini termasuk program berstatus kerjasama atau berkembar bersama badan penganugerah sijil antarabangsa. Bagi kelayakan parallel pathway, mesyuarat bersetuju proses akreditasi MQA adalah tidak perlu memandangkan ianya bukan program latihan yang ditawarkan oleh PPT dalam negara dan KKM hanyalah menyediakan kemudahan bagi calon-calon dalam persediaan menduduki peperiksaan.
Mesyuarat MPM ke-407 pada 22 Jun 2021 telah mengambil maklum berkenaan perkara ini dan bersetuju dengan syor mesyuarat bersama MPM, MQA, KKM dan KPT. Sehubungan dengan itu, pihak MPM bersama-sama MQA akan memastikan kualiti program pendidikan dalam negara yang melibatkan latihan kepakaran perubatan menepati standard yang telah ditetapkan.
Melalui usaha ini, katanya, lebih ramai pakar perubatan berkualiti tinggi dapat dilahirkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan perubatan dan negara.- MalaysiaGazette