KUALA LUMPUR – Syarikat Risen Energy Co Ltd telah melabur sebanyak RM42. 2 bilion di negara ini bagi aktiviti perniagaan termasuk pengilangan sel solar.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah meluluskan lesen berkenaan pengilang dan galakan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Menurutnya, pelaburan yang dibuat melalui Risen Solar Technology Sdn Bhd untuk tempoh lima tahun dari tahun 2021 hingga tahun 2025 itu dijangka menjana 3,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, katanya, syarikat tersebut juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara internship (latihan amali).
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat secara maya bersama pengerusi dan presiden Risen Energy, Xie Jian dan kenyataan dikeluarkan menerusi Facebooknya hari ini.
Muhyiddin menegaskan pelaburan Risen Solar akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar.
“Pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara, yang pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” katanya.- MalaysiaGazette