KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh bergantung kepada vaksinasi sahaja untuk menyelamatkan negara, sebaliknya langkah-langkah lain perlu seiring dalam memastikan penularan Covid-19 dan kes baharu adalah rendah sepanjang tempoh program vaksinasi berlangsung.
Datuk Seri Najib Razak berkata, program vaksinasi secara besar-besaran yang dijalankan tidak akan menurunkan jumlah kes.
”Tapi apakah back-up plan sekiranya vaksinasi tidak dapat menurunkan kes baharu Covid semasa? Adakah kita akan tersekat memanjang di sesuatu fasa sebab kes baharu tetap tinggi biarpun peratusan vaksinasi telah mencapai target?,” soal bekas perdana menteri itu.
Katanya, Malaysia perlu melihat negara Chile yang saiz penduduknya sekitar separuh dari Malaysia.
Chile juga menggunakan vaksin jenis Sinovac, Pfizer dan Astrazeneca seperti Malaysia.
Biarpun kadar vaksinasi di Chile sangat tinggi berbanding Malaysia tapi kes baharu dan kematian baharu Covid-19 tetap tinggi dan tidak menunjukkan penurunan ketara.
Sebab itu, baru-baru ini Chile sekali lagi umum lockdown semula.
”Takkan kamu hanya bimbang 14 juta rakyat keluar ke pusat mengundi pada ketika kes baharu Covid masih tinggi tetapi kamu tak bimbang 25 juta rakyat keluar ke pusat vaksinasi untuk mendapat vaksin?,” tanya beliau lagi.
Tegasnya, untuk menurunkan kadar kebolehjangkitan, kadar positif, jumlah kes baharu dan kadar penggunaan unit rawatan rapi negara perlu satu tempoh lockdown yang amat ketat tetapi singkat dengan bantuan penuh.
Selain itu, melaksanakan saringan percuma komuniti secara besar-besaran termasuk memberi saringan percuma bagi mereka yang datang untuk divaksin dan menggunakan tempoh ini untuk naikkan lagi kapasiti rawatan ICU serta wad Covid-19 sekiranya kes naik semula pada ketika kadar vaksinasi sudah tinggi.
”Kita tidak semestinya jadi seperti negara Chile tapi ianya tanggung jawab kerajaan untuk memastikan kita tidak menjadi seperti Chile dan kita ada back-up plan sekiranya kita mengikut trend negara Chile supaya rakyat dan ekonomi dilindung.
”Pelan pemulihan negara bukan setakat satu persatu menteri membuat lawatan berikut lawatan ke pusat vaksinasi untuk peluang berselfie sahaja. Vaksinasi adalah amat amat penting dan patut dipercepatkan tapi rrang putih kata: “Hope for the best but plan for the worst“,” ujar Najib. – MalaysiaGazette