Home Nasional Ahli perniagaan disyaki dalang sindiket seludup minuman keras

Ahli perniagaan disyaki dalang sindiket seludup minuman keras

Rampasan arak tidak bercukai yang diseludup satu sindiket yang didalangi seorang ahli perniagaan berjaya dilumpuhkan pasukan PGA di Semenyih dan dalang utama itu sedang diburu polis. Gambar: PGA

SEMENYIH – Satu sindiket menyeludup minuman keras yang didalangi seorang ahli perniagaan tumpas menerusi serbuan yang dilakukan hari ini dalam Operasi Kontraban.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Briged Tengah PGA Cheras dengan dibantu Cawangan Risik Batalion 4 Semenyih dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menggempur sebuah premis pada jam 12.05 tengah hari tadi.

“Menerusi operasi itu, pasukan PGA berjaya merampas sebanyak 378 karton yang mengandungi 9,072 tin arak tidak bercukai, sebuah lori, van dan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM284,316.

“Tindakan lanjut juga berjaya menahan seramai tiga individu iaitu dua lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan pemandu menggerakkan barang dalam aktiviti penyeludupan itu.

“Kesemua suspek yang dicekup PGA dalam operasi berkenaan adalah berusia lingkungan berusia 26 hingga 53 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan.

Tambah beliau, kesemua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1963.

Menurut Rizal, siasatan awal mendapati sindiket yang disyaki aktif sejak lebih setahun itu didalangi seorang individu yang menjalankan perniagaan sah.

“Bagaimanapun kami berjaya mengenalpasti identiti individu (ahli perniagaan) terbabit dan usaha mengesannya sedang dilakukan dan pencariannya sudah dipergiatkan.

“Pihak PGA menerusi siasatan lanjut percaya bahawa sindiket berkenaan membawa masuk minuman keras tidak bercukai ini dari pelabuhan di selatan tanah air dan ia kemudian disimpan di stor ini sebelum dipasarkan di sekitar Lembah Klang,” ujar beliau.

Katanya, sindiket tersebut menggunakan van yang mana ahlinya akan meninggalkan kenderaan berisi minuman keras itu di lokasi yang ditetapkan.

Peniaga akan datang membawa van itu ke premis untuk menurunkan barang sebelum kenderaan tersebut diletakkan semula di tempat ia diambil, ujarnya.

“Taktik ini digunakan sindiket berkenaan bagi mengelak ia diketahui dan dikenali sesama mereka antara satu sama lain yang berisiko membocorkan maklumat mengenai kegiatan haram itu.

“Justeru, kami menyeru orang ramai supaya bekerjasama rapat dengan polis dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang seumpama untuk tindakan pantas pencegahan di masa akan datang,” kata beliau.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ahli perniagaan terbabit dalam kemurungan susulan rugi besar maka perasan nak jadi superman terjun lagi.

Comments are closed.