Home Nasional Geng samun kedai serbaneka tumpas, empat individu diberkas polis

Geng samun kedai serbaneka tumpas, empat individu diberkas polis

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A.Anbalagan menunjukkan barang kes yang di rampas mengenai kejayaan tangkapan kes Geng Apoi yang menyamun premis 24jam ketika di sidang media di Ibu Pejabat Daerah Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

SERDANG – Polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang menyamun kerdai serbaneka, dieknali Geng Apoi, dengan tertangkapnya empat lelaki pada malam Ahad lalu.

Kumpulan tersebut akan menukar komponen luar motosikal yang digunakan sebelum melakukan jenayah tersebut bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komissioner A.A. Anbalagan berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian samun daripada seorang lelaki warga Bangladesh pada 1 Mei lalu.

“Semasa kejadian mangsa yang bekerja sebagai juruwang berusia 24 tahun di kaunter pembayaran sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bandar Puteri Puchong didatangi suspek tempatan yang berpura-pura sebagai pembeli tambah nilai kad prabayar.

“Kemudian beliau didatangi seorang lagi rakannya yang memakai topi keledar dan meminta mangsa menyerahkan duit peti wang tunai,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Anbalagan, mangsa kemudian di arah keluar dari kaunter sebelum merampas kotak yang mengandungi rokok dan wang tunai yang dianggarkan berniali RM8,000.

Tambah beliau, bertindak atas laporan mangsa, pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah menangkap dua lelaki di Petaling Jaya dan dua lelaki warga Indonesia di Sri Petaling Kuala Lumpur.

Katanya, dua suspek tempatan yang masing-masing berusia 28 tahun dan berasal dari Padang Besar, Perlis mempunyai lima rekod kesalahan jenayah dadah manakala suspek yang berasal dari Teluk Intan mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

“Dalam pada itu dua lelaki Indonesia yang ditahan masing-masing berusia 25 dan 27 tahun bekerja sebagai pembantu kedai runcit dan tidak mempunyai dokumen yang sah.

Katanya, kumpulan ini dikenalpasti bergiat aktif melakukan jenayah samun di sekitar kawasan Serdang dan Lembah Klang.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mereka akan menukar ‘coverset’ motosikal setiap kali sebelum melakukan jenayah samun.

“Pada masa sama mereka juga akan menyamar sebagai pelanggan sebelum menunggu masa yang sesuai dan melakukan jenayah berkenaan secara teratur dan terancang sebelum meloloskan diri,” ujarnya.

Anbalagan berkata, siasatan polis mendapati kumpulan itu bergiat aktif selama enam bulan dan dengan tertangkapnya suspek polis berjaya menyelesaikan enam kes samun kedai serbaneka 24 jam.

Ujar beliau, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Jun ini untuk membantu siasatan.

Katanya, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun secara berkawan tanpa senjata api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette