Home Nasional KDN gerak Op Patuh banteras ketidakpatuhan SOP – Hamzah

KDN gerak Op Patuh banteras ketidakpatuhan SOP – Hamzah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Lantikan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2021.
Datuk Seri Hamzah Zainudin Foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2021.

PUTRAJAYA – Bagi membanteras ketidakpatuhan masyarakat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP), Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggerakkan Operasi Patuh (Op Patuh).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia diputuskan Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) dalam mesyuarat hari ini.

“Op Patuh akan memberikan lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi termasuk penyalahgunaan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan atau agensi yang diputuskan sidang Majlsi Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mazlan Lazim sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.

Menurut Hamzah, kementerian akan turut menggerakkan sekatan jalan raya bergerak dengan menumpukan kepada kawasan-kawasan panas terutama kawasan kilang dan perindustrian utama.

“Ia termasuk penggunaan aset-aset strategik milik semua agensi penguatkuasaan yang akan diaturgerak secara bersepadu seperti helikopter dan dron bagi pemantauan yang lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, KDN turut diberikan tanggungjawab untuk mengetuai dan mengkoordinasi aspek penguatkuasaan pematuhan SOP dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, semua koordinasi prosedur pengurusan aduan yang diterima berhubung ketidakpatuhan dan pelanggaran SOP di seluruh negara akan dijalankan oleh KDN, katanya.

“Sehubungan itu, peranan pasukan petugas khas yang sebelum ini dikendalikan MKN akan diambilalih oleh KDN bagi meneliti setiap aduan awam yang diterima, termasuk memastikan tindakan susulan diambil terhadap aduan tersebut,” katanya lagi.

Untuk rekod, sehingga 24 Jun, sejumlah 123, 469 premis dan 21,919 kilang-kilang telah periksa di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 885 kompaun telah dikeluarkan dengan 265 premis sudah diarahkan tutup. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada maaf lagi, kalau ingkar SOP tutup operasi serta merta – Hamzah