PUCHONG – Majikan dan pengusaha kilang perindustrian yang memegang pasport pekerja asing diarahkan memulangkan semula dokumen itu kepada kakitangannya semula.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, memegang pasport pekerja asing adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Buruh Paksa.
Menurutnya, arahan tegas itu menyusul rentetan pihaknya menerima banyak aduan sejak kebelakangan ini daripada pekerja warga asing yang majikan mereka masih memegang pasport perjalanan mereka.
“Adalah satu kesalahan syarikat memegang atau menyimpan pasport pekerja asing yang bekerja dengan mereka kerana mereka tidak ada kuasa untuk menyimpan dokumen pekerja yang digajikan walaupun itu kakitangan mereka,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke sebuah kilang pengeluaran roti di sini hari ini.
Terdahulu Saravanan mengetuai operasi pematuhan Akta 342 dan Akta 514 bersama penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dan PDRM ke kilang pengeluaran roti tempatan itu di Kawasan Perindustrian Puchong pagi ini.
Tambah beliau, kementerian kesal dengan sikap majikan yang memberikan alasan kononnya pekerja akan melarikan diri jika pasport mereka dipulangkan.
Mengulas dakwaan itu, Ahli Parlimen Tapah itu menganggapnya alasan tidak masuk akal untuk mewajarkan tindakan mereka menyimpan pasport pekerjanya.
“Tiada bezanya dengan soal kita memegang kad pengenalan pekerja tempatan kita sepertimana memegang pasport pekerja asing.. tak payahlah bagi alasan macam ini.
“Majikan kena faham bahawa adalah salah di sisi antara 11 Elemen dalam Akta Buruh Paksa memegang pasport pekerja, kita perlu mencari langkah lain yang lebih efektif untuk memastikan pekerja yang digajikan itu kekal setia dan tidak lari.
“Majikan boleh menyediakan peti loker khas untuk mereka menyimpan dan mengunci pasport setiap pekerja mereka yang mana ia akan terlindung tanpa rosak dan hilang.
“Kalau majikan boleh menjaga kebajikan dan keperluan pekerja asing dengan baik, tidak ada sebab pekerja asing mahu melarikan diri daripada tempat kerja,” tegasnya.-MalaysiaGazette