KLANG – Lebih 51,500 petugas dalam sektor pengangkutan laut, udara dan darat akan mula menerima vaksin fasa pertama.
Ia bermula dengan 10,000 pelaut dan petugas pelabuhan yang menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Maritim kendalian Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) hari ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, seramai 22,243 petugas lapangan terbang, kakitangan syarikat penerbangan dan petugas kargo di bawah mod pengangkutan udara akan menerima vaksin bermula 5 Julai ini.
Manakala, sektor pengangkutan darat khususnya pengangkutan awam darat pula akan melibatkan 19,259 petugas rel sebagai penerima vaksin.
Mengulas lanjut Ka Siong berkata, fasa pertama akan memanfaatkan seramai 18,596 orang atau 53 peratus penyelia dan petugas pelabuhan di wilayah tengah yang layak menerima vaksin.
“Jumlah keseluruhan penyelia dan petugas pelabuhan-pelabuhan di Malaysia adalah seramai 59,155 orang. Kriteria kelayakan penerima ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika mengadakan sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Terdahulu Ka Siong dan Khairy hadir ke Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang di sini untuk meninjau proses pemberian vaksin sektor pengangkutan yang pertama.
Seterusnya katanya, Program Pemberian Vaksin sektor pengangkutan akan diteruskan selepas ini melibatkan sektor pengangkutan udara yang akan bermula pada 5 Julai 2021 di Bangunan Terminal Utama KLIA .
Ujarnya, syarikat-syarikat pengangkutan yang terlibat dengan program berkenaan akan menanggung secara bersama kos penyediaan PPV, manakala bekalan vaksin diberikan secara percuma oleh kerajaan.
Sementara itu Ka Siong berkata, kementeriannya bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang menyelaraskan program vaksinasi kepada 355,064 pemandu teksi, e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan seluruh negara.-MalaysiaGazette