Home Utama 6,000 ibu mengandung akan menerima vaksin hujung minggu ini – Khairy

6,000 ibu mengandung akan menerima vaksin hujung minggu ini – Khairy

Khairy Jamaluddin Abu Bakar herd immunity Covid-19 vaccine vaccination
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca yang digunakan bagi penerima vaksin di negara ini sesuai untuk ibu mengandung yang usia kehamilannya 14 hingga 33 minggu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan panduan yang telah dikemaskini Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, menunjukkan ketiga-tiga vaksin berkenaan adalah sesuai untuk ibu mengandung.

Bagaimanapun, katanya, Pfizer kekal disyokan, sementara Astrazeneca dan Sinovac kini juga diklasifikasikan sebagai sesuai, yang mana Zeneca tidak lagi dikontraksikan kepada kehamilan, manakala Sinovac disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk ibu hamil dan menyusu.

Kata beliau, berikutan itu dan hasil daripada kajian KKM juga kerajaan telah mengeluarkan temu janji menerusi aplikasi MySejahtera pada 1 Jun lalu untuk vaksinasi ibu mengandung.

“Hari ini kita peruntukan khusus untuk vaksinasi kepada kira-kira 1,500 ibu mengandungi di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC) dan PPV Sunway Piramid.

“Vaksinasi ini khusus untuk ibu yang kandungannya berusia 14 hingga 33 minggu. Ini adalah usaha kita untuk memastikan mereka dapat dilindungi melalui vaksinasi, memandangkan dalam tempoh kehamilan, mereka ada sistem imun yang agak lemah menyebabkan berisiko tinggi terhadap Covid-19.

“Usaha ini telahpun bermula pada 6 Mei lalu lagi apabila Pfizer telah menmgeluarkan maklumat data mengenai kesan kepada ibu yang mengandung dan juga vaksinasi terhadap mereka,” katanya dalam sidang media selepas meninjau program vaksinasi kepada ibu mengandung di PPV MITEC di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan mula menghantar janji temu kepada ibu mengandung untuk menerima vaksin di seluruh negara pada 7 Jun lalu.

Sehingga kini, katanya, aplikasi MySejahtera telah menerima sebanyak 109,607 pendaftaran daripada golongan ibu mengandung di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 11,663 orang dijangka bersalin pada Ogos ini.

“Oleh itu, ibu-ibu mengandung ini telah diberi keutamaan berdasarkan kepada minggu kandungan, yang mana setakat ini lebih 10,000 telah diberi janji temu menerusi MySejahtera.

“Hujung minggu ini saja seramai 6,000 ibu mengandung telah dijadualkan janji temu di PPV MITEC dan PPV Sunway Piramid untuk menerima vaksinasi masing-masing.

“Program ini juga berlangsung di negeri-negeri dengan jumlah berbeza sepanjang minggu ini dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, lebih banyak janji temu akan terus diberikan setiap hari kepada ibu mengandung mengikut keutamaan tempoh kehamilan dan sebagai usaha memastikan mereka mendapat vaksinasi dalam jangkamasa 14 hingga 33 minggu  seperti disarankan KKM.

Katanya, penjadualan janji temu itu akan dilakukan oleh sistem mengikut maklumat yang diberikan oleh mereka ketika mendaftar atau mengemaskini biodata masing-masing.

Menurut Khairy, ibu mengandung kekal menjadi penerima vaksin Covid-19 berkeutamaan tinggi oleh kerajaan terutama berdasarkan risiko jangkitan Covid-19 kepada kumpulan itu.

“Berdasarkan panduan yang telah dikemaskini KKM dan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, menunjukkan ketiga-tiga vaksin yang diberikan sekarang adalah sesuai untuk ibu mengandung.

“Vaksin Pfizer kekal disyokan, sementara Astrazeneca dan Sinavoac kini juga diklasifikasikan sebagai sesuai, di mana Zeneca tidak lagi dikontraksikan kepada kehamilan, manakala Sinovac disyorkan oleh WHO untuk ibu hamil dan menyusu,” katanya. – MalaysiaGazette