Home Ekonomi Faktor luaran terus pengaruhi prestasi ringgit

Faktor luaran terus pengaruhi prestasi ringgit

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kebimbangan terhadap perkembangan faktor luaran akan terus memainkan peranan besar dalam menentukan kedudukan ringgit minggu depan dengan para pelabur memantau perkembangan terbaharu di Amerika Syarikat (AS).

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbincangan mengenai pengurangan kuantitatif AS yang mungkin akan berulang dari semasa ke semasa menyebabkan pasaran pertukaran mata wang tidak stabil dalam masa terdekat ini.

“Dolar US dan ringgit diunjurkan diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.15 hingga RM4.16 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pasaran akan melihat indikator sentimen perniagaan seperti Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Institut Pembekalan AS (PMI) untuk pembuatan yang dijangka sekitar 61 mata untuk Jun daripada 61.2 mata pada bulan Mei, katanya.

“Angka jumlah pekerjaan juga akan menjadi tumpuan seperti data senarai gaji bukan ladang (NFP) dijangka akan lebih tinggi bulan ini berbanding bulan lalu. Sementara itu, kadar pengangguran kemungkinan akan turun lebih banyak kepada 5.7 peratus pada bulan Jun dari 5.8 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mengulas mengenai sentimen yang sama, Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley berkata bahawa pasaran mata wang akan terus meningkat dengan kecenderungan lemah terhadap kekuatan dolar US.

“Dengan tumpuan kepada PMI minggu depan dari Asia dan NFP AS, pasaran mata wang terus diperdagangkan mendatar berbanding dolar US dengan menggabungkan keuntungan minggu sebelumnya,” katanya.

Untuk minggu yang baharu berakhir, dolar US dan mata wang Asia tidak mengalami pembetulan minggu ini ke paras yang ketara, dengan ringgit, bath Thailand dan rupiah Indonesia hampir tidak menghasilkan keuntungan sama sekali walaupun won Korea Selatan dan peso Filipina telah mengalami kerugian.

“Kembimbangan yang semakin meningkat pasca inflasi telah ditunjukkan dalam mata wang negara maju yang lebih kukuh dan bukan mata wang pasaran baharu muncul.

Itu menunjukkan bahawa pasaran kekal bimbang terhadap dengan kemerosotan kadar faedah AS dan kekuatan dolar US yang berada di paras rendah. Semuanya akan terjawab dalam NFP AS minggu depan,” katanya.

Ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0964/0980 daripada 3.0851/0875 seminggu sebelumnya, ringgit turun berbandi pound Britain kepada 5.7781/7802 daripada 5.7526/7568 dan jatuh berbanding euro kepada 4.9627/9645 daripada 4.9308/9344 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.7526/7540 daripada 3.7570/7598 sebelumnya. – MalaysiaGazette