Home Politik Dakwaan kredit komuniti jadi ahlong dedahkan kelemahan Raja Kamarul – Hizwan

Dakwaan kredit komuniti jadi ahlong dedahkan kelemahan Raja Kamarul – Hizwan

Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah kononnya tindakan mencadangkan kredit komuniti bagi mengesahkan operasi ahlong disangkal.

Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad menganggap kenyataan pemimpin Pakatan Harapan itu mendedahkan kelemahannya sendiri.

“Bekas Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu membuktikan ketidak upayaan intelektual beliau menjadi pemimpin dan mendedahkan sendiri kelemahannya ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri KPKT seketika dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hizwan, apa yang dinyatakan oleh Raja Kamarul tersasar jauh dari kebenaran dan fakta dan mendakwanya hanya bercakap tanpa usul periksa dan gagal memahami situasi sebenar.

“Pertama, kredit komuniti adalah penjenamaan semula kepada sektor Peminjam Wang Berlesen yang dikawal selia oleh KPKT. Ini bertujuan bagi membezakan antara peminjam wang haram dan peminjam wang berlesen,” katanya.

Kredit Komuniti dikawal dibawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang jelas memberi garis panduan kepada pemberi pinjam dan peminjam wang sendiri.

Ia juga jelas memberikan hak dan perlindungan kepada peminjam daripada diperas dan dilakukan sewenangnya oleh ceti haram seperti yang pernah dilaporkan oleh media masa.

Kredit Komuniti biasanya merupakan alternatif pinjaman wang kepada individu yang mengalami kesukaran meminjam daripada institusi kewangan seperti bank dan koperasi yang mungkin diakibatkan daripada kekurangan dokumentasi dan kekangan lain.

“Nampaknya YB senator ini tidak faham pun beza kredit komuniti dan pinjaman ahlong haram. Beza ketara antara keduanya ialah syarikat kredit komuniti tidak dibenarkan mengunjungi dan mengutip bayaran di rumah, pejabat atau mana-mana lokasi selain pejabat operasi mereka sendiri.

“Syarikat hanya boleh mengambil tindakan sivil di mahkamah bagi menangani peminjam ingkar.

“Mereka juga dikawal dengan syarat faedah pinjaman serta denda jika mengingkari Akta seperti sehingga RM250,000 dan penjara 3 tahun bagi kesalahan di atas dan denda RM10,000 serta RM1,000 sehari jika gagal menyimpan rekod akaun peminjam yang tepat,” katanya.

Kedua, menurut Hizwan, penjenamaan semula Peminjam Wang Berlesen kepada Kredit Komuniti ini telah disuarakan ketika beliau masih merupakan Timbalan Menteri KPKT sendiri. Jelas dalam satu temubual yang dilapor oleh portal Berita Harian pada 10 Januari 2019 beliau hadir bersama-sama Menteri KPKT dalam sidang media yang berlangsung.

“Adakah pada waktu itu, senator tersebut tidak mengambil tahu apa yang diperkatakan dan bertindak sekadar hanya sebagai seat warmer di kerusi timbalan menteri?

“Penjenamaan semula Peminjam Wang Berlesen kepada Kredit Komuniti ini juga dilaporkan dalam Buku Pencapaian Tahunan KPKT 2019 , pada muka hadapan dan mukasurat 7 tertera wajah Timbalan Menteri KPKT dan pada muka 47 fakta penjenamaan semula Pemberi Pinjam Wang jelas direkodkan. Jika terlupa, hari ini saya ingatkan semula,” sindirnya.

Justeru Hizwan menyeru Raja Kamarul Bahrin dan semua pemimpin lain di Malaysia agar mengubah sikap buat supaya jangan asyik berpolitik dan menyalahkan tetapi memainkan peranan bersama secara aktif bagi membantu negara keluar daripada pandemic Covid-19 dengan usaha dan pemikiran yang matang.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sektor Kredit Komuniti dibenar beroperasi

1 Komen

  1. Ko ni lagi bodoh walaupun nak tunjuk cerdik..masa rakyat tengah susah, ko lagi suruh rakyat berhutang? Musibat betul ko dan Zuraidah ni

Comments are closed.