Home Sukan Denmark berpesta gol kalahkan Wales

Denmark berpesta gol kalahkan Wales

Dolberg menggandakan jaringan menentang Wales sebelum memastikan Denmark mara ke suku akhir kejohanan Euro 2020 kali ini.

AMSTERDAM – Denmark akhirnya muncul sebagai pasukan pertama Eropah yang telah mengesahkan tiket perlawanan suku akhir Kejohanan Euro 2020 selepas berpesta gol melanyak Wales 4-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik awal pagi tadi.

Dalam aksi di Arena Johan Cruyff, Wales yang memulakan aksi dengan yang nyaris mengejutkan penyokong Denmark seawal minit ke-10 hasil rembatan kencang penyerang sensasi, Gareth Bale namun tersasar.

Bagaimanapun Denmark tanpa membuang masa segera mengatur strategi untuk merobek kubu pertahanan dan gawang gol lawan.

Usaha Denmar tidak menjadi sia-sia apabila pada minit ke-28, Denmark membuka jaringan menerusi tendangan kencang penyerang mereka Kasper Dolberg.

Gol pembukaan itu telah menambah, semangat Denmark di atas padang dan terus menguasai bola di atas padang sepanjang masa tanpa memberi peluang kepada Wales merampas bola.

Wales kelihatan bergelut dalam perlawanan itu dan terus buntu mencari gol penyamaan pada separuh masa pertama yang berakhir dengan 1-0 memihak kepada Denmark.

Namun sejurus separuh masa kedua bermula, Denmark tidak mengambil masa yang lama untuk mengejutkan lawan semula.

Dolberg sekali lagi berjaya menggunakan kesilapan pemain bertahanan Wales Neco Williams yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti dan meledakkan gol kedua pasukannya pada minit ke-48.

Wales ternyata terus kecewa selepas membolos gol kedua akibat kesilapan pertahanan mereka.

Bagaimanapun, kebangkitan Wales dengan permainan lebih teratur dan serangan balas ternyata agak terlambat apabila buntu untuk merobek gawang gol Denmark yang dipantau ketat bintang Leicester City, Schmeichel.

Berbaki dua minit sebelum perlawanan 90 minit tamat, Maehle pula membuka gol ketiga pasukannya untuk mengeruhkan keadaan Wales.

Wales terus ditimpa nasib menyedihkan apabila salah seorang pemain tengah mereka,  Harry Wilson yang masuk sebagai pemain gantian ke dalam padang menerima kad merah selepas mengkasari Maehle dari belakang pada minit ke-90.

Keadaan itu menyebabkan berlaku sedikit rasa tak puas hati dalam kalangan pemain Wales termasuk Bale yang cuba menyoal pengadil perlawanan atas keputusan itu namun, keputusan kad merah dikekalkan.

Keadaan itu memaksa Wales beraksi dengan 10 pemain menentang Denmark.

Walaupun Wales sedar akan tiada peluang untuk melakukan keajaiban dan kebangkitan semula selepas ketinggalan 3-0,mereka terus berusaha mencari gol sagu hati sebelum perlawanan tamat.

Malangnya, Denmark tidak menunjukkan belas kasihan dalam soal gol ke atas Wales  setelah Martin Braithwaite membuka gol keempat Denmark sekaligus mengesahkan slot suku akhir pasukannya.- MalaysiaGazette