Home Nasional Kes jurulatih didakwa keluar kenyataan jelik terhadap pelatih wanita disiasat

Kes jurulatih didakwa keluar kenyataan jelik terhadap pelatih wanita disiasat

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan seorang jurulatih sebuah pusat latihan polis untuk menjalankan tugas am pejabat selepas dia didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pelatih wanita.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan seorang jurulatih sebuah pusat latihan polis untuk menjalankan tugas am pejabat selepas dia didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pelatih wanita.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, jurulatih lelaki itu akan dipindahkan sehingga hasil siasatan diperoleh menerusi satu siasatan dalaman terhadapnya.

Menurut beliau, terdahulu pihaknya telah mengesan sebuah video berdurasi 23 saat yang tular di media sosial memaparkan jurulatih terbabit.

“Polis memandang serius perkara ini kerana ia boleh mencemarkan integriti serta tahap profesionalisme di institusi pusat latihan polis.

“Pucuk pimpinan PDRM menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kenyataan, perbuatan serta perilaku yang boleh ditafsirkan sebagai seksis dan seumpamanya dalam kalangan warga polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaini turut menegaskan sebarang salah laku akan diambil tindakan segera dibawah peruntukan undang-undang serta peraturan tata tertib pegawai awam sedia ada.

Menerusi laman Twitter tengah malam tadi, seorang pengguna berkongsi paparan video yang diambil dari aplikasi Tik Tok memaparkan seorang individu mendakwa sekiranya terdapat pelatih wanita, mereka akan meminta mereka melakukan lompat bintang secara empat penjuru bagi ‘menggembirakan’ para jurulatih.

Video tersebut telah mendapat pelbagai reaksi pengguna Twitter dan sehingga kini diulang ciap lebih 3,500 kali. – MalaysiaGazette