KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyegerakan bantuan kepada rakyat bagi meringankan beban mereka ketika pelanjutan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap moratorium secara automatik serta pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan salah satu cara bagi membantu golongan yang terjejas.
“Moratorium automatik, pinjaman bank wajar diberi kepada B40, M40, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri kecil dan sederhana (IKS).
“Kerajaan tak keluar duit. Hanya arahkan bank keluar KWSP atas nama apa pun. Hanya arahkan KWSP untuk luluskan. Apabila PKP dilanjutkan sudah tentu jeritan rakyat semakin nyaring,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu menambah, melaksanakan penangguhan bagi sewa premis perniagaan dan kediaman milik kerajaan juga perlu dilaksanakan.
“Tangguh juga bayaran sewa premis milik kerajaan seperti gerai, bangunan arked MARA, sewa flat Program Perumahan Rakyat (PPR) milik kerajaan.
“Pinjaman agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN Nasional), Amanah Ikhtiar Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Beri juga bantuan tunai kepada B40, golongan yang hilang pendapatan serta beri kerja sementara kepada graduan yang menganggur,” katanya.
Ahli Parlimen itu juga mahu kerajaan dapat memberikan potongan kadar bayaran tol, harga minyak serta mengawal harga barangan keperluan.
“Ekonomi rakyat ketika PKP, kurangkan bayaran tol di semua lebuh raya, subsidi minyak petrol harus ditambah supaya turun harga minyak.
“Tambah senarai barang kawalan supaya harga turun, subsidi bil elektrik, air, pembentungan. Vaksinasi juga harus dipantaskan agar membantu mengurangkan segera stress rakyat,” tambahnya.- MalaysiaGazette