KUALA LUMPUR – Dulu rakyat dipersalahkan kerana enggan daftar vaksin kini kenapa pemberiannya masih perlahan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluahkan meluahkan kekecewaan apabila kadar pemberian vaksin masih perlahan meskipun hampir 17 juta rakyat sudah mendaftar.
“Kini alasan terbaru beberapa pusat pemberian vaksin Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 berdepan kekurangan bekalan pula.
“Sebab ramai mahu suntikan maka stok vaksin di PPV tidak cukup. Penghantaran tidak dapat dibuat. Mereka yang tidak dapat suntikan vaksin ketika temu janji diminta pulang dan diberi tarikh baru.
“Apa benda? Bukankah rekod pendaftaran dan tarikh temu janji suntikan ditetapkan oleh kerajaan. Bukan rakyat yang memandai-mandai menetapkan sendiri tarikh temu janji. Jika rekod temu janji ditetapkan 1,000 orang, maka pastilah ada 1,000 dos,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid menambah rakyat tidak boleh menuding jari kepada petugas kesihatan dalam isu ini kerana mereka mengikut ketetapan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan daripada lapan juta dos yang telah diterima kerajaan setakat ini hanya tujuh juta dos sahaja digunakan.
“Bermaksud stok sedia ada tidak mencukupi untuk majoriti baki yang telah mendaftar Jika begitu berapa lama lagi tempoh masa diperlukan sebelum Malaysia capai Herd Immunity?” soalnya.- MalaysiaGazette