WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) melakukan satu lagi serangan udara terhadap penyokong Iran di Iraq dan Syria, susulan serangan dron yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Iran terhadap tentera dan kemudahan AS di Iraq.
Serangan itu menggunakan jet pejuang F-15 dan F-16.
Dalam satu kenyataan, tentera AS mengatakan pihaknya mensasarkan kemudahan operasi dan penyimpanan senjata di dua lokasi di Syria dan satu lokasi di Iraq.
Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya lima pejuang yang disokong Iran, lapor sebuah organisasi pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain.
Serangan itu dilakukan atas arahan Presiden Joe Biden, kali kedua beliau memerintahkan serangan balas terhadap kumpulan yang disokong Iran sejak memegang jawatan lima bulan lalu.
Kali terakhir Biden memerintahkan serangan terhad di Syria pada bulan Februari, ketika itu sebagai tindak balas terhadap serangan roket di Iraq.
“Seperti yang ditunjukkan oleh serangan malam ini, Presiden Biden jelas bertindak untuk melindungi anggota keselamatan AS,” kata Pentagon dalam satu kenyataan.
Serangan itu berlaku walaupun pentadbiran Biden berpotensi mengembalikan semula perjanjian nuklear 2015 dengan Iran.
Serangan itu menunjukkan usaha Biden untuk memisahkan serangan pertahanan untuk melindungi tentera Amerika dan pada masa yang sama melibatkan Teheran dalam diplomasi.
Pengkritiknya mengatakan Iran tidak boleh dipercayai dan menunjukkan serangan dron sebagai bukti Iran dan proksi-proksinya tidak akan pernah menerima kehadiran tentera AS di Iraq atau Syria.
Biden dan White House enggan mengulas mengenai serangan tersebut.
Pegawai AS percaya Iran berada di belakang peningkatan serangan dron dan tembakan roket berkala terhadap tentera dan kemudahan AS di Iraq, yang mana tentera AS telah membantu Baghdad memerangi sisa-sisa pengganas IS.
Dua pegawai AS berkata, penyokong-penyokong Iran melakukan sekurang-kurangnya lima serangan dron terhadap kemudahan yang digunakan oleh anggota AS dan sekutunya di Iraq sejak April lalu.
Pentagon berkata, kemudahan yang disasarkan oleh kumpulan berkenaan termasuk Kataib Hezbollah dan Kataib Sayyid al-Shuhada.
Salah satu kemudahan disasarkan adalah kawasan pelancaran dan kemudahan penyelenggaraan dron, kata seorang pegawai pertahanan. – MalaysiaGazette