Home Nasional Lebih banyak PPV di Selangor Julai ini – KJ

Lebih banyak PPV di Selangor Julai ini – KJ

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2021.

TANJONG KARANG – Kerajaan Persekutuan tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor bermula Julai ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ia bagi meningkatkan kapasiti harian vaksin Covid-19 di Selangor sehingga 130,000 menjelang Julai ini.

“Pada 1 Jun, Selangor hanya memberi 16,000 suntikan sehari tapi pada 25 Jun, Selangor telah mencatat 46,000 suntikan. Antara sebab peningkatan ini ialah keputusan CITF untuk membuka lebih banyak lagi PPV termasuk yang berkala besar atau PPV Mega.

“Antaranya di The Mines Convention Centre, UiTM Puncak Alam dan PPV lain termasuk di Setia City Convention Centre,” katanya pada sidang media di PPV Institut Pengurusan Peladang Tanjung Karang hari ini.

Sebelum ini, sehingga semalam, Selangor telah menerima 1,367,306 dos vaksin Pfizer, Sinovac dan juga AstraZeneca.

Menurut Khairy, ketika ini, vaksin Covid-19 di Selangor yang berbaki dan masih digunakan berjumlah 322,606.

“Kadar penggunaan vaksin di Selangor adalah 76 peratus.  Sebab itu saya minta Selangor percepatkan kadar penggunaan vaksin,” jelasnya.

Menurut Khairy, sasaran itu telah pun dipersetujui pihaknya dengan kerajaan Selangor dalam satu mesyuarat berkenaan vaksin, baru-baru ini.

“Memang untuk Julai kita akan tingkatkan kapasiti Selangor sehingga 130,000 dos sehari. Itu memang perancangan saya untuk Julai, Menteri Besar pun sudah setuju,” jelasnya.

Katanya lagi, pihaknya dalam perancangan untuk membuka PPV hampir di setiap daerah termasuk PPV tambahan di fasiliti sedia ada bagi meningkatkan kapasiti harian.

“Kita sudah menambah PPV sedia ada seperti di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam. Dulu satu dewan sahaja, sekarang dua dewan kita buka. Julai nanti kita akan buka PPV setiap daerah,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya tiada pilihan melainkan membuka lebih banyak lagi PPV bagi mempercepatkan kapasiti harian hingga mencapai imuniti berkelompok.

“Kita tiada pilihan, vaksin sampai bulan Julai tak lama lagi dua atau tiga hari lebih banyak vaksin akan sampai. Saya tak nak vaksin itu duduk dalam peti sejuk, kita kena gunakan secepat mungkin.

“Kalau tak ada PPV maka kadar penggunaan kita akan jatuh, saya minta setiap negeri kedar penggunaan 90 peratus ke atas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Selangor agak lembap guna vaksin Covid-19 – KJ