Home Nasional Lelaki Myanmar dalang sindiket palsu dokumen imigresen diberkas

Lelaki Myanmar dalang sindiket palsu dokumen imigresen diberkas

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud menunjukkan dokumen palsu yang dirampas pada sidang media kejayaan imigresen menumpaskan rangkaian sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen kerajaan dan imigresen terbesar tahun ini dengan tertangkapnya seorang lelaki Myanmar yang dikenali sebagai ‘Rockers’ pada Sabtu lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata,  suspek yang berusia 38 tahun dipercayai melakukan aktiviti haram berkenaan selama tiga tahun selepas berkahwin dengan wanita Malaysia pada tahun 2016.

Sindiket ini dikesan selepas sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas berjaya membongkarkan pemalsuan pelbagai dokumen kerajaan dan imigresen dalam satu Operasi Khas yang dijalankan di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu.

Berdasarkan maklumat, suspek dipercayai berada di kawasan Kota Raya di antara jam 3 hingga 6 petang namun kelibatnya hanya dikesan pada jam 6.45 petang.

Pasport palsu yang dirampas pada sidang media kejayaan imigresen menumpaskan rangkaian sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

Menurutnya, penahanan suspek telah membawa pasukan risikan JIM ke sebuah kondominium mewah di Bandar Tasik Selatan yang dijadikan sebagai markas untuk mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini hari ini.

Khairul berkata, lelaki Myanmar itu menjalankan kegiatan itu secara bersendirian dengan menggunakan aplikasi Whatsapp, Viber, Wechat dan Telegram untuk mencari pelanggan.

Lelaki itu dianggarkan meraih pendapatan sebanyak RM18,000 sebulan dengan aktiviti haram itu atau RM648,000 selama lebih empat tahun.

Hasil siasatan, suspek didapati hanya mencetak 10 hingga 15 dokumen palsu setiap bulan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Jelas Khairul, dokumen yang dihasilkan suspek mempunyai ciri-ciri ketulenan yang tinggi iaitu 50 hingga 60 peratus.

Cop keselamatan daripada pelbagai negara antara barang rampasan pada sidang media kejayaan imigresen menumpaskan rangkaian sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

Menurutnya, suspek mengenakan RM300 hingga RM1,000 untuk sekeping pelekat Pas Lawatan Sementara yang palsu.

Bagi i-Kad palsu pula, kadar bayaran sebanyak RM100, RM200 dikenakan untuk pakej cap keluar dan masuk pelbagai negara.

Bayaran sebanyak RM500 dikenakan bagi passport pelbagai negara, RM100 untuk sekeping kad UNHCR palsu, RM100 untuk sekeping sijil kelahiran Myanmar palsu serta sijil perkahwinan palsu dan RM100 bagi sekeping lesen memandu antarabangsa palsu, katanya.

Dalam serbuan di rumah suspek, JIM merampas wang tunai sebanyak RM15,300, sebuah kereta jenis Honda dan motosikal jenis Yamaha, selain pelekat pas lawatan dan peralatan mencetak.

Suspek yang pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang telah reman selama 14 hari dan kes di siasat di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memalsu atau meminda suatu pengendorsan atau dokumen yang digunakan termasuk permit dan pas lawatan.

Sekiranya disabit kesalahan lelaki itu akan dipenjarakan tidak lebih kurang lima tahun dan tidak kurang 10 tahun, selain denda tidak kurang RM30,000.

Suspek juga boleh dikenakan enam kali sebatan.

Khairul berkata, JIM juga akan membuat permohonan supaya suspek dihalau dari Malaysia dan tidak dibenarkan masuk semula seumur hidup. -MalaysiaGazette