TULAR di media sosial video berdurasi 26 saat yang memaparkan seorang wanita
menyerang seorang warga emas yang memandu sebuah kereta di sekitar Saujana Rawang. Terdahulu, warga emas tersebut dikatakan melarikan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang juga merupakan seorang anak kelainan upaya (OKU).
Siasatan polis mendapati bahawa tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah sebagaimana yang ditularkan. Remaja terbabit dikatakan berjalan seorang diri lalu menahan kereta warga emas tersebut. Beranggapan bahawa remaja tersebut meminta pertolongan, warga emas itu membawanya menaiki kenderaannya.
Ada beberapa perkara menarik yang perlu diambil tahu oleh orang ramai berkaitan insiden ini. Dalam keadaan bagaimanakah penculikan dikatakan berlaku, apakah orang awam tidak boleh melakukan kebaikan dan apakah tindakan yang wajar diambil dalam keadaan sedemikian.
Seksyen 361 Kanun Keseksaan menggariskan bahawa barang siapa mengambil mana-mana budak lelaki yang berumur kurang daripada empat belas tahun, budak perempuan kurang daripada enam belas tahun atau mana-mana orang yang tidak sempurna akal, dari pemeliharaan penjaga budak atau orang yang tidak sempurna akal itu yang sah di sisi undang-undang, dengan tiada kerelaan penjaga itu, adalah dikatakan menculik budak atau orang itu dari penjagaan yang sah di sisi undang-undang.
Inti pati daripada seksyen ini yang perlu dititikberatkan ialah ketiadaan kerelaan (consent) daripada penjaga atau ibu bapanya. Penculik atau tertuduh perlu mengambil langkah aktif seperti mengambil atau memujuk mangsa. Tempoh masa mangsa berada bersama si tertuduh tidak penting.
Saya berikan satu contoh mudah. Sekiranya anda terpandang seorang kanak-kanak duduk keseorangan di hadapan rumahnya dan berasa kasihan padanya, lalu membawanya untuk makan aiskrim tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran penjaganya, ini adalah culik dari sudut undang-undang.
Persoalannya, bagaimana andai kanak-kanak atau remaja tersebut yang menyapa atau merayu supaya dibawa bersama? Dalam kes Sayyad Abdul Sattar, diputuskan bahawa tertuduh tetap bersalah walau pun yang merayu agar dibawa keluar dari rumah ibu bapanya ialah mangsa tersebut.
Di bawah seksyen 361, kerelaan yang dimaksudkan bukan kerelaan mangsa sebaliknya kerelaan ibu bapa atau penjaganya yang sah. Justeru, persetujuan daripada mangsa tidak akan mengecualikan tertuduh daripada sabitan culik.
Melarikan orang pula adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 362. Tertuduh akan disabitkan sekiranya dia melarikan dengan niat tertentu seperti melarikan dengan tujuan hendak membunuh, melarikan dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan dengan salah, melarikan perempuan bagi memaksa dia berkahwin dan sebagainya.
Menculik dan melarikan orang adalah dua perbuatan jenayah yang berbeza. Berbalik kepada persoalan, apakah tindakan yang sewajarnya diambil sekiranya orang awam disapa oleh seorang remaja atau kanak-kanak yang tiada hala tuju. Bawalah kanak-kanak tersebut ke balai polis yang berhampiran.
Biarlah pihak berkuasa yang menguruskannya. Dalam negara yang mempunyai undang-
undang dan penguatkuasa serta ada juga wartawan yang tidak bertauliah, ini adalah tindakan yang paling wajar dilakukan lebih-lebih lagi untuk mengelakkan salah faham dan insiden diserang tanpa disiasat.
Semua perlu sedar dan diingatkan bahawa negara kita mempunyai undang-undang yang wajar dihormati. Jangan mengambil tindakan melulu atas apa sebab sekali pun. Buat baik berpada-pada. Paling penting, jangan mengambil tindakan seolah-olah anda penguatkuasa.
Fitnah media sosial sangat berbahaya. Pastikan dahulu fakta kes sebelum berkongsi. Ayuh jadilah pengguna media sosial yang bijak, bertindak berpandukan fakta dan yang paling penting usah komen andai tidak pasti.
Dr. Shamshina Mohamad Hanifa
Pensyarah Undang-undang Jenayah
Jabatan Undang-undang Sivil
UIAM