Home Utama Sindiket judi bola sepak libat pertaruhan RM19 juta tumpas

Sindiket judi bola sepak libat pertaruhan RM19 juta tumpas

Ketua Polis Johor,Datuk Ayob Khan menunjukkan antara barang rampasan OPS Saga VIII di Johor Bahru hari ini.
JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan sindiket judi bola sepak dalam talian melibatkan nilai pertaruhan lebih RM19 juta menerusi 40 serbuan di seluruh negeri itu dari 10 hingga 26 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi Ops Saga VIII, serbuan dilakukan di rumah-rumah yang dijadikan tempat ahli sindiket beroperasi.

“Serbuan paling banyak adalah di daerah Johor Bahru Selatan. Seramai 51 warga tempatan berusia 18 hingga 54 tahun daripada beberapa kumpulan berbeza ditahan selepas dipercayai terlibat sebagai ejen atau bookie sindiket pertaruhan.

“Jumlah pertaruhan bergantung kepada mereka dan sindiket ini mula beroperasi sejak 12 Jun lalu sempena kejohanan bola sepak UEFA Euro 2020 yang sepatutnya diadakan pada 2020 tetapi ditunda pada 2021 kerana pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Johor hari ini.

Ayob Khan berkata, mereka yang menjalankan kegiatan tersebut berpandukan 20 laman sesawang di luar negara dan aktiviti itu mula beroperasi sejak kejohanan tersebut  bermula.

“Ini bukan tipu scam, ini pertaruhan bola, dia ada 20 website dan website ini bukan berada di Malaysia..di oversea. Inilah peranan master ejen, ejen dan pemain.

“Dia akan bagi apabila mereka sudah dapat cari pemain, ejen akan beri dia punya password username untuk mereka main.
“Transaksi semua dalam bentuk tunai atau transaksi bank tuan tuan aplikasi WeChat, WhatApss atau Telegram,” katanya.

Menerusi serbuan itu, katanya, pihak polis merampas wang tunai berjumlah RM35,112 selain 71 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer, empat komputer riba,  satu unit modem, dua unit router dan dua unit pencetak.

Turut dirampas 67 keping sim kad pelbagai jenis dua jadual pelawanan Euro dan 15 helai kertas catitan rekod pertaruhan, katanya.

Ayob berkata, pihaknya percaya terdapat saki baki kumpulan lain yang menjalankan kegiatan sama dan dijangka semakin banyak menjelang akhir kejohanan berkenaan.

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, jika sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Kesemua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak enam hulan atau kedua-dua sekali dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953 yang boleh didenda RM20,000 hingga RM200,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.
“Kejayaan operasi ini sebahagian besarnya adalah hasil risikan dijalankan pihak polis dan sebahagiannya daripada aduan dan maklumat orang ramai,” kata Ayob Khan.

Polis, katanya, akan terus menjalankan operasi tersebut secara berterusan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pertaruhan judi bola sepak, boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau bilik gerakan polis Johor 07-221 2999 atau 07-225 4677.-MalaysiaGazette