Home Pendapat Telefon terbakar, apa cerita?

Telefon terbakar, apa cerita?

Telefon milik seorang pelajar yang terbakar ketika mengikuti PdPR baru-baru ini.

BARU-baru ini Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dengan kerjasama Yayasan
YTL telah memberikan telefon pintar secara percuma kepada pelajar-pelajar yang
memerlukan. Sebanyak 20,000 unit telefon jenama Yes telah diedarkan kepada pelajar di
negeri Perak.

Tujuan utama pemberian telefon pintar ini adalah untuk memudahkan pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Suatu usaha kerajaan negeri yang boleh ‘dipuji.’ Seperti yang kita tahu, ramai pelajar terutama dalam kalangan B40 kini tercicir pelajarannya akibat tiada peranti yang cukup untuk mengikuti PdPR. Selain itu, pelajar yang berada di luar bandar juga mengalami kesusahan mengikuti PdPR kerana capaian Internet yang lemah.

Walaupun ramai pihak yang mengecam tindakan kerajaan negeri Perak kerana memberikan telefon yang berkualiti rendah kepada rakyat, namun tidak dapat dinafikan terdapat keluarga atau penerima yang berterima kasih atas pemberian ini. Dek kerana kesesakan hidup, wang yang ada tidak mencukupi untuk membeli alat peranti
untuk PdPR. Pemberian ini sememangnya yang diharapkan oleh rakyat ketika ini, lebih baik ada daripada tiada.

Ibarat lirik lagu Gerimis Mengundang oleh kumpulan Slam, “Ku sangkakan panas
berpanjangan, rupanya gerimis mengundang.” Tidak sampai sebulan pemberian telefon
pintar ini, sudah kedengaran berita yang kurang enak, terdapat kes telefon yang diberikan ini meletup dan terbakar dengan secara tiba-tiba.

Peristiwa ini amat mengecewakan bukan sahaja kepada mangsa, tetapi seluruh masyarakat. Ramai pihak yang mempersoalkan kualiti telefon yang diberikan ini. Kejadian ini sudah tentu akan menjejaskan sesi PdPR mangsa dan turut memberi kesan kepada keselamatan mangsa sekeluarga.

Kejadian ini telah memberi imej yang buruk kepada telefon jenama Yes dan juga kepada
pihak kerajaan yang memberi. Pihak yang memberi haruslah mengkaji dan menyiasat
terlebih dahulu kondisi sebenar telefon ini sama ada ia berupaya digunakan ketika sesi
PdPR yang panjang sehari-hari, bukan sekadar beri dan terus selesai masalah.

Aduhai, janganlah rakyat diperbodohkan sebegini. Sudahlah susah pada musim pandemik
ini, pemimpin pula seperti tiada fungsi untuk meringankan beban rakyat. Lalu di mana lagi tempat untuk rakyat mengadu dan bergantung harap? Walaupun telefon tersebut telah diganti oleh pihak pembekal, sikap pemimpin yang sambil lewa sekadar melepaskan batuk di tangga adalah menyedihkan, sekali gus mendatangkan kemarahan kepada rakyat. Tidak pelik jika ramai yang menggunakan tanda pagar kerajaan gagal sekarang ini.

Usaha yang harus dipuji

Ada wakil rakyat yang sedaya upaya mencari sumber kewangan yang cukup untuk berikan alat peranti terbaik kepada para pelajar yang memerlukan untuk PdPR di kawasannya. Selain itu, ada juga wakil rakyat yang berusaha meluaskan capaian Internet di kawasannya bagi memudahkan pelajar belajar dalam talian dan mereka yang bekerja di rumah. Usaha yang bersungguh-sungguh sebegini memang wajar dipuji dan dicontohi oleh wakil rakyat-wakil rakyat yang lain, sama ada pihak kerajaan, pembangkang atau bebas.

Respons menteri besar yang menyedihkan

“Kalau masa kita tengah susah ni, orang bagi ikan sardin, ikan sardinlah kita makan. Tak
ada kita (minta) nak makan ayam pula,” kata YB Menteri Besar Perak apabila dipersoalkan
tentang kualiti telefon bimbit yang diagihkan.Lebih menyedihkan lagi, apabila beliau ditanya berkenaan isu telefon terbakar ini, jawapan yang diberikan amat sadis.

“Daripada 100,000 unit yang telah diedarkan seluruh Malaysia, hanya satu yang terbakar,
takkan itu nak dijadikan punca untuk kerajaan negeri buat siasatan?” Sikap cetek pemikiran ini wajar dipersoalkan. Kita tidak perlu tunggu sebahagian atau semua 100,000 unit terbakar baru siasatan perlu dibuat. Jika siasatan dibuat, punca kebakaran dapat diketahui lalu boleh diuar-uarkan kepada penerima telefon yang lain langkah pencegahan yang betul. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat?

Seorang pemimpin harus sentiasa mementingkan soal pendidikan dan keselamatan
rakyatnya. Tambahan lagi, jika punca sesuatu kemalangan itu adalah berpunca daripada
pemimpin itu sendiri.

Apa yang boleh dilakukan oleh pemimpin

Pemimpin harus bersedia mencari solusi yang bernas untuk menyelesaikan masalah rakyat. Pada musim pandemik ini, kita sedia maklum ramai rakyat yang terkesan. Adalah amat penting untuk para pemimpin ini bersidang dan berbincang solusi terbaik untuk membantu meringankan beban rakyat.

Parlimen juga harus berfungsi dengan segera supaya pemimpin daripada kedua-dua belah
pihak boleh mengemukakan usul, sekali gus usul tersebut boleh dibahas oleh ahli-ahli
parlimen. Barulah idea atau cadangan yang dikeluarkan itu mampu dianalisis dari semua
aspek.

Cadangan-cadangan yang dikemukan oleh pihak kerajaan pada hari ini dilihat tidak
menyeluruh. Salah satu faktornya adalah tiada sesi perbahasan ketika usul dikeluarkan,
maka kesannya sudah tentu terpalit kepada rakyat.

Rakyatlah yang hilang pekerjaan, rakyatlah yang dijangkiti Covid-19, rakyat jugalah yang
menghadapi masalah PdPR. Sebahagian pemimpin kerajaan pula hanya ‘mampu’ makan mi segera sahaja sebagai tanda ‘prihatin.’

Ditambah pula dengan isu kelembapan agihan komputer riba percuma untuk PdPR, hal ini
membuatkan rakyat tertanya-tanya akan kualiti telefon pintar yang diberikan dalam
menjalankan PdPR dan mempersoalkan sikap acuh tak acuh kerajaan dalam
menyelesaikannya.

Nur Zahanim Muhammad Zahir
Pegawai Pertubuhan IKRAM Malaysia