KUALA LUMPUR – Isteri kepada lelaki yang jatuh dari tingkat 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ketika sedang melakukan kerja penyelenggara pendingin hawa baru-baru ini menyifatkan insiden itu sebagai ujian besar buat dirinya dan anak-anak.
Amirah Mustapa, 29, berkata, ini kerana sebelum ini suaminya, Muhammad Fathullah Muhammad Zafri, 31, sukar mencari pendapatan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelas beliau, insiden itu juga menyebabkan dia dan anak-anak kini kehilangan ketua keluarga sebagai punca rezeki kerana Muhammad Fathulllah masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur dan dijangka mengambil masa lama untuk pulih.
“Saya sangat terharu dan tidak tahu hendak cakap apa kerana pelbagai bantuan diterima selepas insiden tersebut walaupun ia ujian besar kepada kami sekeluarga.
“Malah urusan saya juga dipermudahkan untuk datang dari Perak ke sini bagi melawat suami dan dia masih lagi kritikal di ICU namun dua pembedahan sudah berjaya dan sedang menunggu maklum balas daripada doktor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis sumbangan bantuan di IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Bantuan sebanyak RM5,200 hasil kutipan anggota, pegawai dan kariah surau dan Pertubuhan Kebajikan Isteri Polis IPD itu yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah itu, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.
Turut hadir bapa mangsa, Muhammad Zafri Abu Zahrin.
Pada 20 Jun lalu, Muhammad Fathullah yang juga seorang pekerja penyelenggaraan pendingin hawa cedera selepas terjatuh dari tingkat 10 IPD Dang Wangi ketika sedang melakukan kerjanya.
Anggota bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Dang Wangi yang sedang bertugas terdengar bunyi dentuman dari arah luar lobi IPD Dang Wangi pada jam 6 petang.
Hasil pemeriksaan mendapati seorang individu terbaring di atas lantai di luar lobi IPD Dang Wangi dengan mengalami kecederaan pada tubuh badannya.
Mengulas lanjut, Amirah memberitahu, dia pada mula terkejut dengan insiden yang menimpa suaminya apatah lagi jatuh dari tingkat 10 sehingga dia terfikir tiada harapan untuk diselamatkan.
Namun dia bersyukur apabila dimaklumkan Muhammad Fathulllah masih sedar dan boleh bercakap ketika dibawa ke hospital.
“Kami merupakan pasangan jarak jauh (PJJ) sebab saya tinggal di Kuala Kangsar, Perak manakala suami tinggal di Ampang sejak Januari lalu.
“Gara-gara PKP, saya hanya dapat datang ke KL pada Khamis lalu kerana perlu menguruskan anak bongsu yang berusia lapan bulan,” katanya yang memiliki dua lagi anak, yang mana anak sulung berusia tujuh tahun.
Sementara itu, Muhammad Zafri memberitahu, anaknya kini sudah menunjukkan perkembangan baik apabila sudah sedar daripada dua pembedahan namun doktor tidak membenarkannya bercakap.
Cuma katanya, doktor memaklumkan, Muhammad Fathullah perlu berjaga-jaga selepas pembedahan itu.
“Saya dimaklumkan dia perlu mengambil masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya..
Tambah Muhammad Zafri, anak sulung daripada tiga beradik itu amat berminat dengan kerja-kerja penyelenggaraan pendingin hawa sejak zaman remaja lagi dan tidak gayat dengan tempat yang tinggi. – MalaysiaGazette