Home Dunia Campuran vaksin Pfizer, AstraZeneca hasilkan imun lebih baik – Oxford

Campuran vaksin Pfizer, AstraZeneca hasilkan imun lebih baik – Oxford

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berkata amalan mencampur dan memadankan suntikan vaksin berbeza kepada orang ramai tidak boleh diputuskan oleh individu sebaliknya ia sepatutnya dibuat agensi awam bergantung kepada data sedia ada.- Gambar hiasan.

LONDON – Penggunaan vaksin campuran yang mana suntikan vaksin Pfizer Covid-19 diberikan empat minggu selepas suntikan AstraZeneca akan menghasilkan tindak balas imun yang lebih baik berbanding memberi dua dos AstraZeneca, menurut kajian Oxford.

Kajian yang dikenali sebagai Com-COV, membandingkan jadual dua dos campuran vaksin Pfizer dan AstraZeneca.

Kajian itu turut mendapati dalam kombinasi apa pun, vaksin campuran dapat menghasilkan kepekatan antibodi yang tinggi terhadap lonjakan protein koronavirus.

Data tersebut memberikan sokongan untuk keputusan beberapa negara Eropah yang mula menawarkan alternatif kepada AstraZeneca sebagai suntikan kedua.

Matthew Snape, Profesor Oxford yang terlibat dalam kajian itu berkata, penemuan tersebut memberi fleksibiliti kepada proses vaksinasi namun hasil kajian itu tidak memadai untuk digunakan secara lebih meluas berbanding jadual kelulusan klinikal.

“Ini pasti menggembirakan kerana tindak balas antibodi dan sel-T ini sesuai untuk vaksin campuran,” katanya.

Tindak balas antibodi tertinggi dilihat pada individu yang menerima dua dos vaksin Pfizer, tetapi campuran dua vaksin menghasilkan tindak balas yang lebih baik berbanding dua dos vaksin AstraZeneca.

Katanya, suntikan vaksin AstraZeneca diikuti oleh Pfizer menghasilkan tindak balas sel T terbaik dan juga tindak balas antibodi yang lebih tinggi berbanding suntikan Pfizer diikuti oleh AstraZeneca.

Dapatan kajian ini diperoleh selepas kombinasi vaksin diberikan selang empat minggu kepada 830 individu.

Com-COV juga melihat jadual campuran selama selang 12 minggu dan Snape menyatakan suntikan AstraZeneca menghasilkan tindak balas imun yang lebih baik dengan selang waktu yang lebih lama antara dos.

Pihak berkuasa Britain mencadangkan jurang lapan minggu antara dos vaksin bagi individu berusia lebih 40-an dan jurang 12 minggu untuk orang dewasa yang lain. – MalaysiaGazette