Home Seni Hidup Cincin kahwin Nourul, Ajai dijual RM750

Cincin kahwin Nourul, Ajai dijual RM750

Foto Instagram Nourul Depp.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Nourul Depp akhirnya berjaya menjual cincin perkahwinan pertamanya sebelum berhijrah ke Bali, Indonesia.

Walaupun ada yang mempertikaikan tindakannya dan menyuruh dia menyerahkan sahaja cincin berkenaan kepada anak perempuannya, Ayu Nazirah, wanita kelahiran Pulau Pinang itu tampil memberi penjelasan.
“Nota kaki: Ayu tak mau. Kami tanya dia dulu. Dia keutamaan. Dan dia tak suka emas. Dia izinkan saya buat movement ni.

“Sekian. Khas buat semua kk joyah yang rajin bagi pendapat. InsyaAllah masih berakal. Family keutamaan kami,” tulis di Instagram miliknya.

Tambah Nourul yang memiliki tiga lagi anak menerusi perkahwinan keduanya, ketika ini cincin tersebut juga sudah berjaya dijual kepada seorang individu.

“Tahniah Cik @hayani_h24 pembida tertinggi iaitu RM750. Selesai dah kes cincin ni.

“Semoga yang memerlukan barang keperluan mendapat manfaatnya. Amin,” ujarnya.

Kelmarin, Nourul secara terbuka memberitahu, dia mahu menjual cincin perkahwinan pertamanya.

Menurut Nourul, 44, cincin nikah bersama bekas suaminya iaitu penyanyi dan komposer, Ajai, itu dibiar tersimpan sejak 2007 lagi.

Kata Nourul, daripada disimpan lebih baik dia menjual cincin berkenaan dan wang daripada hasil jualan itu akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan. – MalaysiaGazette