Home Ekonomi Kenaikan kes varian Delta pacu kejatuhan harga minyak

Kenaikan kes varian Delta pacu kejatuhan harga minyak

Gambar hiasan. foto Agensi

MELBOURNE – Harga minyak merosot untuk hari kedua pada hari Selasa kerana kebimbangan pertumbuhan permintaan bahan bakar yang lebih perlahan apabila wabak varian Delta Covid-19 semakin menular mencetuskan sekatan mobiliti baharu di seluruh dunia.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) jatuh AS$0.14 atau 0.2 peratus kepada AS$72.77 setong pada 0045 GMT, menambah kerugian 1.5 peratus pada hari Isnin.

Niaga hadapan minyak mentah Brent pula merosot AS$0.10 atau 0.1 peratus kepada AS$ 74.58 setong, selepas merosot 2 sen pada Isnin.

Lonjakan kes varian Delta muncul ketika Organisasi Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Rusia dan sekutunya, yang dikenali sebagai OPEC +, akan bertemu pada 1 Julai ini untuk membincangkan kelonggaran pengurangan pengeluaran mereka.

OPEC meramalkan permintaan bekalan minyak global pada suku keempat akan kekurangan sebanyak 2.2 juta tong sehari, memberi ruang kepada para pengeluar untuk setuju penambahan pengeluaran.

“Harga minyak jatuh kerana kebimbangan OPEC + akan memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran secara signifikan pada akhir minggu ini sama seperti lonjakan penularan varian Delta koronavirus, ” kata penganalisis komoditi Commonwealth Bank Vivek Dhar dalam nota penyelidikannya.

Sepanyol dan Portugal, destinasi percutian musim panas yang digemari oleh orang Eropah, mengenakan sekatan baharu kepada warga Britain yang belum divaksinasi.

Sementara itu, 80 peratus penduduk Australia berdepan dengan sekatan pergerakan ekoran serangan virus itu di seluruh negara.

Penganalisis menjangkakan OPEC + akan meningkatkan bekalan sekitar 500,000 setong sehari pada bulan Ogos kerana pasaran telah mengawal ketat pertumbuhan permintaan bahan bakar yang kukuh di Amerika Syarikat dan China, dua pengguna minyak terbesar di dunia. – MalaysiaGazette