Home Utama Moratorium: Tiada penalti dikenakan – Tengku Zafrul

Moratorium: Tiada penalti dikenakan – Tengku Zafrul

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap pada taklimat media Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 JUN 2021.

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bank tidak akan mengenakan caj tambahan atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium.

Jelas beliau, kerajaan telah menasihati pihak bank mengenai perkara tersebut dan mereka bersetuju untuk melaksanakannya.

Menurut beliau, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai tindakan bank komersil yang melaksanakan moratorium ketika rakyat dan perniagaan berdepan tekanan akibat pandemik Covid-19.

Tambahnya, pelaksanaan moratorium yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sama sahaja konsepnya seperti diumumkan tahun lalu.

“Tiada caj kadar faedah terkompaun, tiada yuran dan penalti lewat bayar. Jika dikenakan juga nanti, mereka boleh buat aduan.

“Isu yang penting kerajaan telah mendengar keluhan rakyat dan memenuhi permintaan mereka yang mahukan moratorium.

“Ini kerana ketika pertemuan turun kepada padang bertemu rakyat, mereka mahu pertolongan dan kita bercakap dengan bank-bank tolonglah mana yang terkesan menerusi proses yang mudah hanya perlu membuat permohonan sama ada talian dan telefon atau ke cawangan secara automatik.

“Fokus moratorium iaitu penangguhan bagi membantu aliran tunai rakyat dalam waktu mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media khas mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di kementeriannya di sini hari ini.

Tengku Zafrul menambah, kerajaan menyedari pihak bank bakal berdepan kesan daripada moratorium itu namun inilah masanya mereka membantu rakyat dan usahawan yang terkesan.

Namun kata beliau, kerajaan percaya institusi perbankan mampu menyerap implikasi terbabit.

“Berdasarkan perbincangan dengan bank sebelum ini, mereka memiliki kemampuan untuk menawarkan moratorium selama enam bulan kepada pelanggan berdasarkan keupayaan dari aspek penampan kewangan yang kukuh.

‘Bagaimanapun, semua bank digesa tidak mengambil kesempatan atas situasi yang dihadapi peminjam kerana moratorium yang diumum kerajaan adalah untuk meringankan beban peminjam yang terkesan,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.

”Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhan (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank,” kata semasa mengumumkan Pemulih.

Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021.

Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan, ujarnya. – MalaysiaGazette