KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen UMNO sedang menunggu keputusan sama ada Parlimen akan dipanggil bersidang dalam masa terdekat atau sebaliknya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, parti itu semenangnya menjunjung pandangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berpendirian sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan.
“Kita pun semua sudah bersetuju tidak ada parti yang tidak bersetuju Parlimen bersidang segera, UMNO pun menjunjung titah Agong untuk Parlimen bersidang secepat mungkin.
“Tadi pun difahamkan Speaker Dewan Negara dan Speaker Dewan Rakyat sudah mengadap Agong jadi kita tunggu apa keputusan, kita pun tidak tahu,” katanya pada sidang media di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Hari ini, YDPA berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara dalam sesi yang berlangsung selama satu jam bermula pukul 11 pagi.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Sesi menghadap tersebut merupakan lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun lalu.
Mohd Rashid selepas sesi mengadap YDPA mengesahkan Parlimen akan mula bersidang dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
Dia ni wakil Presiden kah? Sepatutnya Presiden atau SU Agong UMNO yg buat statement…