Home Nasional Pertimbang kedai buku dan alat tulis serta komputer beroperasi semula

Pertimbang kedai buku dan alat tulis serta komputer beroperasi semula

Ibu bapa membeli komputer riba sebagai persediaan kemudahan anak-anak mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) berikutan penutupan sekolah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Pasaraya Digital, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan untuk membenarkan kedai buku dan alat tulis serta kedai komputer dan telekomunikasi beroperasi semula tanpa perlu menunggu sehingga Kawalan Pergerakan di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) memasuki fasa dua.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih lagi berlangsung bagi pelajar yang bersekolah dan sesi pembelajaran dalam talian bagi mahasiswa di institusi pengajian tinggi masih berjalan seperti biasa.

“Semua pihak yang terlibat memerlukan akses untuk memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran seperti keperluan guru mencetak bahan-bahan mengajar, keperluan untuk membeli komputer riba baharu dan keperluan pelajar membeli alat tulis untuk digunakan ketika belajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Amir berkata pada ketika ini, mahasiswa sedang menjalani minggu-minggu akhir semester serta minggu peperiksaan yang dilakukan secara dalam talian, memerlukan mahasiswa untuk mempunyai peranti yang baik bagi memudahkan urusan mereka.

Katanya, adalah wajar sektor itu dibuka kembali dan tidak menunggu sehingga tiba fasa dua bagi memastikan sistem pendidikan di negara ini dapat terus berjalan dengan baik.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan beberapa sektor akan dibenarkan beroperasi semula dalam fasa dua kawalan pergerakan itu termasuk kedai buku dan alat tulis serta komputer dan telekomunikasi.

Negara masih berada dalam fasa satu yang dikekalkan sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

— BERNAMA