KUALA LUMPUR – Polis menjalankan sekatan dan beberapa penutupan jalan di ibu negara susulan perhimpunan ‘Black Democracy’ yang dijangka diadakan tengah hari ini.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, setakat ini pihaknya masih belum mengesan mana-mana individu yang dikatakan ingin berhimpun atau pun berkumpul dengan memakai baju berwarna hitam.
Menurut beliau, laluan utama menghala ke Dataran Merdeka, Masjid Negara serta bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut kini ditutup dan dikawal ketat anggota bertugas.
“Hari ini difahamkan ada pihak-pihak tertentu yang akan berhimpun dan berkumpul untuk mengadakan demonstrasi atau flash mob sekitar ibu negara dan juga negeri-negeri lain secara serentak.
“Di Kuala Lumpur khususnya kawasan Dang Wangi, kita akan sentiasa memastikan kawalan dan ketenteraman awam terpelihara.
“Jadi kita telah laksanakan banyak sekatan dan kita menutup laluan-laluan utama yang menghala ke Dataran Merdeka dan bangunan utama yang menjadi fokus seperti bangunan KWSP, Masjid Negara serta lain-lain tempat yang dirasakan perlu untuk dikawal,” katanya ketika ditemui media di Dataran Merdeka hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata, seramai 42 pegawai dan lebih 150 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi digerakkan bagi menjalankan pemantauan dan sekatan di lokasi-lokasi berkenaan.
Katanya lagi, mana-mana individu yang berada di sekitar ibu negara bagi menyertai himpunan atau operasi tersebut diminta supaya tidak meneruskan hasrat tersebut.
“Saya telah mengarahkan semua pegawai dan anggota untuk menjalankan kawalan dan pemantauan supaya tidak ada mana-mana kumpulan, individu atau pertubuhan untuk berhimpun di mana-mana lokasi dalam tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara kerana ia merupakan satu kesalahan bukan sahaja di bawah Akta 342 tetapi juga di bawah kanun keseksaan, perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran adalah tidak dibenarkan sama sekali.
“Kita nasihatkan kepada mereka yang berhasrat untuk turun ke Kuala Lumpur dengan tujuan berkenaan supaya membatalkan niat mereka kerana kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan kepada peraturan sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Polis Diraja Malaysia sudah mengenal pasti dalang di sebalik video tersebut, Mohamad Zainal berkata, beliau tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai maklumat itu.
Pada Isnin, satu video berdurasi dua minit 40 saat tersebar di laman sosial yang mana mengajak orang ramai untuk berkumpul di hadapan Istana Negara, Dataran Merdeka serta Masjid Putrajaya sekitar pukul 12 tengah hari bagi mereka yang berada di kawasan Lembah Klang. – MalaysiaGazette