KUALA LUMPUR – Negara-negara kaya perlu tampil untuk membantu negara-negara miskin yang kekurangan sumber dalam usaha memerangi pandemik Covic-19 yang melanda dunia ketika ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana virus berbahaya itu menyerang semua lapisan individu tanpa mengira golongan kaya atau pun miskin.
Justeru kata beliau, dalam menghapuskan Covid-19 secara kolektif, usaha bersama semua negara diperlukan untuk berganding tenaga.
“Virus ini menyerang semua orang, kaya atau miskin dan oleh itu, kita perlu memiliki kekuatan untuk memeranginya kerana kita berdepan musuh secara bersama. Tetapi, sayangnya, kita tidak bersikap seperti itu.
“Beberapa negara kaya telah membeli lebih banyak vaksin daripada yang mereka perlukan sehingga membataskan bekalan ke negara lain.
“Satu-satunya cara untuk mengalahkan musuh adalah bersatu sebagai satu kekuatan dan merancang pertahanan dalam mempertimbangkan masalah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Kepimpinan Asian 2021 yang berlangsung secara maya di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mengulas perlunya pemimpin global memerangi pandemik Covid-19 itu secara kolektif.
Dr Mahathir menambah, dunia hanya akan dapat kembali pulih sepenuhnya apabila semua masyarakat global berada dalam kedaan selamat.
Beliau menyeru negara-negara kaya untuk menunjukkan empati kepada negara lebih miskin dan menggunakan kesempatan ada sebagai cara untuk menjernih semula hubungan yang mungkin telah tegang sebelum ini.
Ditanya mengenai kepentingan nilai-nilai Asia, Ahli Parlimen Langkawi berkata, dunia telah memandang Barat untuk dijadikan contoh sejak berabad lamanya.
“Namun akhir-akhir ini, kita telah melihat kemerosotan sistem nilai mereka apabila sebahagian daripadanya telah runtuh. Kami dapati mereka sangat ingin hidup bebas sehingga menafikan kebebasan orang lain,” katanya yang mengambil insiden rusuhan di Capitol Hill di Amerika Syarikat sebagai contoh yang berlaku pada awal tahun ini.
Dr Mahathir turut mengakui Barat sebenarnya kurang memberi penekanan yang pada nilai tradisional dalam keluarga.
“Di Barat sekarang, perkahwinan tidak dihormati. Sebilangan besar kanak-kanak dilahirkan di luar nikah.
“Apabila kita tidak dapat mengenal pasti ayah kandung masing-masing, kita melakukan perkara-perkara yang belum pernah kita lakukan sebelumnya.
“Seperti ‘tidak perlu berkahwin’, ketika anda menyukai seseorang, anda tinggal dengan seseorang itu dan jika anda tidak menyukai mereka, anda akan mencari yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette
Apakata keluarga yg kaya raya dan ada anak billionaire tampil beri bantuan kpd rakyat Malaysia yg terjejas pendapatan dan menanggung hutang hingga ada yg telah membunuh diri akibat menanggung kerugian yg tinggi..