Home Nasional Majoriti pemanggil talian bantuan KKM alami tekanan emosi

Majoriti pemanggil talian bantuan KKM alami tekanan emosi

Adham Baba

KUALA LUMPUR – Stres keterlaluan, murung, hilang harapan untuk meneruskan kehidupan dan hilang sumber pendapatan diakui antara alasannya.

Selain itu,  perselisihan dengan pasangan serta keluarga dan stigma terhadap jangkitan Covid-19 juga menjadi faktor utama sebanyak 91.2 peratus panggilan talian bantuan yang diterima Kementerian Kesihatan (KKM) sejak Mac tahun lalu.

Rata-rata mangsa memerlukan sokongan emosi dan kaunseling untuk menangani pelbagai masalah mental, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Justeru, menurutnya, KKM dan kementerian lain mengambil inisiatif dari pelbagai aspek bagi menangani masalah yang timbul.

Ia termasuklah meningkatkan Latihan Bantuan Asas Psikologi kepada pasukan barisan hadapan dan anggota agensi lain.

Pemerkasaaan masyarakat melalui memberi latihan dan kemahiran kepada individu-individu di luar lingkungan KKM turut dilaksanakan termasuklah meningkatkan penglibatan pemimpin agama setempat di dalam advokasi kesihatan mental, katanya pada sidang media bersama dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin hari ini.

Kata Dr. Adham, sejak akhir tahun 2020 hingga kini, seramai 200 pegawai psikologi dilantik dan tugas mereka akan disambung pada tahun 2022 untuk meneruskan penyampaian kesihatan mental kepada barisan hadapan dan masyarakat.

Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga akan  mengambil langkah pragmatik dengan menempatkan 160 pegawai terlatih di hospital seluruh negara untuk menangani kes kemurungan.-MalaysiaGazette