Home Nasional Murid Tahun 5 ditemui maut selepas dileter nenek

Murid Tahun 5 ditemui maut selepas dileter nenek

ACP Osman Mamat

TAIPING – Hanya kerana tidak puas hati dengan leteran nenek yang mengarahkannya untuk mandi, seorang pelajar Tahun 5 bertindak gantung diri di kediamannya di Taman Tupai Mas di sini semalam.

Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedar diri dalam bilik tidur oleh neneknya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.52 malam.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati  mangsa dipercayai menggantungkan dirinya menggunakan kain sari yang diikat pada katil besi dua tingkat.

“Mangsa dibawa ke Hospital Taiping oleh nenek serta jirannya untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia.

“Siasatan lanjut mendapati pelajar itu bertindak sedemikian selepas tidak puas hati dengan leteran neneknya mengarahkan mangsa untuk mandi,” katanya hari ini.

Menurut beliau, hasil soal siasat nenek mangsa mendakwa kanak-kanak itu hiperaktif selain suka mencuba sesuatu perkara berdasarkan pengamatannya.

“Mangsa tinggal bersama nenek selepas ibu bapanya bercerai.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pohak hospital hari ini mendapati mangsa meninggal akibat patah leher susulan gantung diri,” ujar Osman. – MalaysiaGazette