KOTA KINABALU – Dua Timbalan Ketua Menteri Sabah menjelaskan tindakan kerajaan negeri itu melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah berdasarkan situasi semasa pengurusan COVID-19 dalam keadaan baik.
Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam kenyataan berasingan hari ini berkata keputusan melonggarkan SOP berkenaan dibuat oleh Kabinet negeri setelah melihat situasi penularan COVID-19 di Sabah dapat diurus dan dikawal dengan baik seterusnya membolehkan ekonomi dipulihkan segera untuk rakyat.
Bung Moktar berkata keputusan kerajaan Sabah adalah berlandaskan data dan fakta selain jumlah kes harian yang masih pada tahap sederhana berbanding di beberapa negeri di Semenanjung.
“Jika ada SOP yang boleh datangkan penularan jangkitan tinggi sudah pasti kerajaan negeri tidak akan longgarkan, apa yang penting sekarang kerajaan perlu percepatkan vaksinasi kepada seluruh rakyat di Malaysia termasuk di Sabah,” katanya.
Jeffrey pula berkata kelonggaran SOP itu antaranya membenarkan makan di premis restoran dilihat mudah dikawal dalam situasi pengurusan dan kawalan COVID-19 yang baik sekarang.
Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun dilaporkan berkata kerajaan Sabah telah mengemukakan SOP bagi Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam PPN kepada kerajaan Pusat dan pada masa ini menunggu pewartaan SOP tersebut.
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah 178 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,203 kes, manakala 219 pesakit COVID-19 telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif yang sembuh seramai 67,069 orang.
— BERNAMA