Home Nasional UNI-MLC gesa kerajaan halang HSBC buang 600 pekerja, tutup 13 cawangan

UNI-MLC gesa kerajaan halang HSBC buang 600 pekerja, tutup 13 cawangan

Datuk Mohammed Shafie Mammal.
Mohammed Shafie Mammal.

KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) hari ini menggesa kerajaan campur tangan bagi menghalang HSBC Bank Malaysia, antara bank tertua di Malaysia daripada melaksanakan skim VSS dan MSS yang membuka laluan kepada pembuangan 600 pekerja B40 dan M40.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya rasa kecewa dengan tindakan HSBC itu, didakwa dilakukan tanpa menghormati undang-undang negara dan Perjanjian Kolektif antara pekerja dan majikan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, beliau berkata, UNI-MLC menyokong tindakan yang sedang diambil oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan akan bersama dengan mereka dalam memperjuangkan kepentingan pekerja-pekerja terbabit.

“UNI-MLC juga dimaklumkan tindakan HSBC ini mendapatkan kebenaran dan kelulusan kerajaan,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, UNI-MLC mahu kerajaan terutama Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia campur tangan bagi memastikan tidak ada bank terutama bank multinasional, yang mengaut keuntungan dengan menggunakan tenaga pekerja-pekerja tempatan, menutup cawangan begitu sahaja dan mengambil tindakan membuang pekerja atas nama VSS dan MSS.

“UNI-MLC berpandangan bahawa tindakan HSBC ini tidak wajar dilakukan,” kata beliau dengan menggariskan dua alasan.

Pertamanya, menurut Shafie, HSBC mengambil tindakan melaksanakan VSS dan MSS ketika rakyat dan negara sedang bertarung menghadapi impak pandemik COVID-19, yang sudah memasuki tahun kedua.

“Seolah-olah HSBC menggunakan persekitaran COVID-19 untuk melaksanakan rancangan mereka. Ini merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan,” kata beliau.

Kedua, katanya, HSBC sebagai sebuah bank multinasional terus mencatatkan keuntungan.

Oleh itu, tambah beliau, UNI-MLC bertegas bahawa tidak ada sebab mengapa ia harus mengambil tindakan drastik mahu mengurangkan pekerja dan membuang pekerja.

Dua minggu lalu, NUBE mendakwa HSBC mengumumkan pelaksanaan VSS dan MSS meskipun pihaknya meminta pengurusan bank itu menangguhkan langkah tersebut sementara perbincangan dan perundingan sedang berjalan.

Bagaimanapun HSBC meneruskan pengumuman skim VSS dan MSS, dan juga penutupan 13 cawangan di seluruh negara mulai Disember ini. Ia akan membawa kepada pembuangan lebih 600 pekerja.

Sehubungan itu kata Shafie, UNI-MLC juga berpandangan VSS dan MSS juga satu bentuk pembuangan pekerja yang tidak wajar dilakukan oleh mana-mana majikan dan organisasi, terutama entiti yang merekodkan keuntungan secara berterusan, dan bukan sebaliknya.

“Majikan seharusnya menyediakan latihan semula dan peningkatan kemahiran pekerja tetap mereka sekiranya mereka benar-benar bersikap jujur mahu mengukuhkan operasi.

“Langkah memberi skim VSS dan MSS dan mengurangkan pekerja begitu sahaja bukan satu tindakan perhubungan perusahaan yang baik bagi pekerja, majikan dan negara,” kata beliau lagi.

Kata Shafie, HSBC harus menarik balik langkah menawarkan VSS dan MSS, dan membatalkan tindakan menutup cawangan-cawangan mereka di seluruh negara, di mana langkah penutupan itu juga membawa kesulitan kepada para pelanggan.- MalaysiaGazette