Home Pendapat Usah tambah lagi beban ibu bapa

Usah tambah lagi beban ibu bapa

Hari sudah gelap, tetapi ibu bapa terus menemani anak-anak mereka ketika mereka mengikuti kelas dalam talian di pondok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bekok, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2021.

SARANAN agar menggantung persekolahan murid yang tidak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) boleh menyebabkan tekanan bagi segelintir ibu bapa.

Semua ibu bapa prihatin dengan pendidikan anak-anak, cuma keadaan hidup yang mendesak menyebabkan mereka kadang-kadang serba salah membiarkan anak-anak tidak ke sekolah. Tidak dinafikan juga memang ada sebilangan kecil ibubapa yang tidak mementingkan pendidikan anak-anak.

Antara yang terkesan dengan pandemik ini selain murid-murid  terpaksa menjalani pembelajaran di rumah ialah ibu bapa yang kehilangan punca pendapatan.

Keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan emosi kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga.

Ada anak-anak  yang terpaksa membantu  ibu bapa menguruskan jualan dalam talian di rumah. Ada yang menghabiskan masa memasak untuk membantu ibu bapa yang menerima tempahan makanan, ada juga yang terpaksa keluar membuat penghantaran barang kepada pelanggan.

Semua ini dilakukan demi untuk membantu ibu dan ayah  yang kehilangan punca pendapatan.

Inilah hakikat apa yang berlaku kepada murid-murid kita. Setiap mereka mempunyai masalah yang berbeza yang memerlukan penyelesaian yang berbeza.

Walau bagaimanapun, memahami tekanan yang dihadapi, ibubapa perlulah ada kesedaran yang tinggi supaya anak-anak tidak tercicir dari segi pelajaran.

Mereka perlu  bijak menguruskan masa anak-anak di rumah agar tidak ketinggalan untuk hadir ke kelas. Jangan biarkan anak-anak tidak hadir PdPR tanpa alasan.

Selain masalah tiada gajet atau berkongsi gajet, ramai murid kita tidak masuk kelas PdPR kerana menghadapi masalah tekanan emosi, ada yang memberi alasan tertidur, ada yang kecewa dengan keadaan rumah yang tidak kondusif untuk mereka belajar dan ada yang menghadapi gangguan internet setiap kali kelas.

Keadaan yang berterusan sedikit sebanyak mematahkan semangat dan motivasi untuk belajar dan hadir kelas secara dalam talian. Itulah juga antara beberapa punca anak-anak tidak hadir pdpr.

Saya juga pernah menghadapi situasi di mana anak hilang motivasi untuk belajar. Tidak mahu hadir kelas dalam talian. Bukan masalah berkongsi gajet, bukan masalah internet, bukan masalah guru dan bukan juga masalah gangguan adik beradik.

Keadaan ini berlarutan untuk beberapa tempoh menyebabkan saya buntu. Sehinggalah dia kembali semula ke asrama dan menjalani kelas bersemuka, keadaan dia semakin baik.

Saya sendiri sebagai guru adalah sukar menilai alasan-alasan samada kukuh atau tidak. Kita hanya menilai dari jauh, sedangkan masalah sebenar kita tidak tahu.

Kalau ibu bapa juga berada dalam tekanan, bagaimana mungkin mereka membantu anak-anak menghadapi situasi ini?

Adakah tindakan menggantung murid tidak hadir PdPR ini satu penyelesaian? Kita perlu melihat secara holistik setiap masalah yang berlaku kerana ia berkaitan antara satu sama lain.

Masalah ketidakhadiran PdPR anak-anak adalah berpunca daripada pelbagai masalah teknikal dan juga kemelut yang berlaku di dalam keluarga sendiri. Ia tidak boleh disamakan dengan ketidakhadiran sekolah secara bersemuka.

Adalah diharapkan bantuan dan insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan dapat membantu meringankan beban golongan yang kehilangan punca pendapatan dan  seterusnya membantu anak-anak untuk meneruskan pembelajaran di rumah.

Kita juga berharap agar pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat segera dilaksanakan dengan menyegerakan pemberian vaksin kepada guru-guru dan murid-murid.

Asma Ahmad
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Isma