KUALA LUMPUR – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman membantu seramai 400 keluarga di Kelantan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya.
Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Vida berkata, bantuan itu membabitkan pemberian beras dan beberapa keperluan asas lain yang diagihkan bagi membantu meringankan penduduk yang susah.
Jelas beliau, program itu dilakukan secara berterusan sebelum PKP 1.0 lagi namun enggan menghebahkan kepada masyarakat di laman sosialnya.
“Ini adalah sebahagian usaha syarikat saya dalam memberikan bantuan kepada masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini.
“Sebenarnya saya rasa sedih apabila tengok semua yang terkesan sebab pandemik ni. Saya jarang tunjuk setiap apa yang saya bagi tapi sebab ramai yang ucap terima kasih dan mendoakan saya, saya tunjuk sedikit sumbangan daripada saya.
“Insya-Allah bila keadaan sudah okay, saya hendak pergi sendiri dan beri lebih lagi kepada semua rakyat Kelantan iaitu tempat saya dilahirkan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas permintaan netizen agar golongan yang berkemampuan tidak terlalu menunjukkan kemewahan di media sosial, sama ada makan dengan menu yang banyak sedangkan ada rakyat yang terputusan bekalan makanan.
Vida yang juga ibu tunggal berkata, beliau bukannya tidak sensitif dengan senario rakyat hari ini apabila sering muncul di media sosial dengan menu makanan yang mewah.
Namun katanya, meja makan di dapur adalah tempat beliau melakukan aktiviti promosi produk secara langsung di media sosial.
“Sebab meja makan itu tempat saya duduk dan makan. Sejak PKP, saya tidak guna meja di ruang tamu kerana tidak boleh terima tetamu dan jarang ke pejabat.
“Saya memang duduk dan makan di dapur sambil membuat promosi jual produk untuk kandungan di media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette