Home Nasional 23,000 penerima baharu bantuan JKM tahun ini

23,000 penerima baharu bantuan JKM tahun ini

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

PUTRAJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meluluskan sebanyak 23,000 permohonan baharu di seluruh negara bermula dari Januari hingga Mei lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, peningkatan jumlah penerima bantuan tersebut antaranya berpunca daripada faktor ekonomi dan situasi semasa Covid-19.

Menurut beliau, kebanyakan penerima baharu di bawah JKM membabitkan pelbagai kategori iaitu bantuan kanak-kanak dari keluarga miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas.

“Kebanyakan mereka ini terkesan akibat wabak Covid-19 yang melanda, jadi apabila pegawai turun melakukan siasatan kita lihat berdasarkan kelayakan mereka.

“Ada juga dalam kalangan penerima yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19,” katanya dalam sidang media Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di sini hari ini.

Setakat ini, seramai 517,769 individu di seluruh negara merupakan penerima bantuan JKM.

Dalam pada itu, Rina turut mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang bagi pelaksanaan bantuan bakul makanan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

Jelas Rina, pengumuman peruntukan tersebut merupakan gambaran keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional untuk membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 melalui wakil rakyat masing-masing.

“Jadi sudah tidak timbul isu tiada peruntukan dan sebagainya, semua boleh memohon untuk bantuan bakul makanan ini. Sekurang-kurangnya dalam satu kawasan itu sudah ada tempat untuk rakyat rujuk,” ujarnya.

Tambah Rina, KPWKM turut menyambut baik peruntukan sebanyak RM15 juta bagi keperluan psikososial dan masalah-masalah berkaitan.

“Jadi ini juga membantu kementerian bekerjasama dengan badan bukan kerajaan untuk memastikan bahawa program-program ini dapat kita tangani bersama dengan mempraktiskan penglibatan the whole society kerana dalam kita berhadapan dengan peperangan Covid-19 ini kita perlu bersama,” katanya.

Menurut Rina, secara keseluruhan pakej Pemulih yang diumumkan itu merupakan satu pakej yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat di negara ini.

“Kita harap dapat dilaksanakan secepat mungkin dan atas nama Pemulih itu sendiri agar kita dapat memulihkan kembali ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette