KUALA LUMPUR – Dalang sindiket penyeludupan rokok, dikenali Geng Jimmy, diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Klang, Selangor pada 21 Jun lalu menerusi Op Kontraban.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, tangkapan ke atas suspek dilakukan oleh anggota Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
“Dalang Geng Jimmy telahpun ditahan oleh Bukit Aman dan nama sindiket seperti Geng Ben dan Geng Jimmy memang pernah timbul sebelum ini,” katanya pada sidang media di Briged Tengah PGA, Cheras di sini, hari ini.
Tambah beliau, Briged Tengah PGA akan terus mengesan dan mengumpul maklumat bagi menumpaskan sindiket kontraban lain yang masih bebas.
Sebelum ini, media melaporkan Geng Jimmy bergiat aktif dalam kes penyeludupan rokok di beberapa buah negeri di semenanjung Malaysia.
Pada 24 Jun lalu, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, pemantauan dan risikan ke atas geng itu telah lama dibuat pihaknya dalam usaha menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok.
Menurut Rosli, modus operandi geng ini adalah sama dengan kumpulan penyeludup rokok lain yang pernah ditumpaskan oleh pasukan Maritim Selangor sebelum ini.
Geng Jimmy disyaki menggunakan bot dan bot pancung untuk menyeludup masuk rokok dari Indonesia dan Vietnam.
Bot berkenaan akan mengambil rokok yang diseludup dari Vietnam daripada bot yang lebih besar yang berhenti di sempadan perairan negara manakala bot pancung pula digunakan untuk membawa rokok kretek dari Indonesia. -MalaysiaGazette