KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menuntut penjelasan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berhubung kes bunuh diri yang semakin meningkat di negara ini.
Menurut Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin, pihaknya tertanya-tanya mengenai apa tindakan yang bakal diambil oleh kementerian itu bagi menangani permasalah ini.
“Sudahlah setiap hari ada yang mati kerana kegagalan mengurus Covid, ditambah pula yang membunuh diri akibat tertekan, Kerajaan Perikatan Nasional masih tidak proaktif menangani masalah rakyat dan hanya menggunakan solusi politik berbanding bukti-bukti data dan sains.
“Apa tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat? Berapa ramai lagi nyawa yang perlu hilang sehingga Menteri bertindak?,” soal Ulya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, statistik kes bunuh diri yang dikeluarkan oleh polis menunjukkan sebanyak 468 kes dilaporkan dari Januari sehingga Mei tahun ini.
Justeru itu, Ulya berkata, kepada siapa yang harus rakyat dipersalahkan setelah angka memeranjatkan itu direkodkan hanya dalam masa lima bulan.
“Kegagalan siapakah ini? Rakyat atau kerajaan pemerintah yang kurang peka dengan kesihatan mental rakyatnya?
“Memang benar, Malaysia sedang menghadapi cabaran yang amat getir mengharungi pandemik Covid-19. Tetapi kebanyakan negara telah berjaya bangkit dengan pengurusan yang cekap dan jitu,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa kerajaan bertindak segera usaha membantu menangani tekanan mental rakyat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan kejadian bunuh diri seperti yang kerap tular di media sosial.
Yang Dipertua PUM, Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berpandangan pelbagai faktor menyebabkan individu itu bertindak membunuh diri untuk keluar daripada masalah mereka.
Malah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa agar Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM) yang diperkenalkan pada tahun 2007 ditubuhkan semula bagi membolehkan orang ramai mengakses data berkaitan kes bunuh diri di negara ini.
Suhakam dalam satu kenyataan berkata, sistem tersebut merangkumi maklumat umur, jantina, kumpulan etnik, negeri dan cara bunuh diri yang mana akan membantu jalan penyelesaian jangka masa panjang dalam mencegah cubaan bunuh diri dalam masyarakat. – MalaysiaGazette