Home Utama KPD diberi kuasa komander operasi mega dalam Op Patuh mulai esok –...

KPD diberi kuasa komander operasi mega dalam Op Patuh mulai esok – Hamzah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tiba pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan Operasi Patuh (Op Patuh) secara bersepadu dan besar-besaran di seluruh negara bermula esok dan ia diketuai oleh ketua polis daerah (KPD).

Setiap KPD diberikan kuasa komander operasi untuk mengkoordinasikan keberkesanan operasi dengan tumpuan khusus terhadap Selangor dan Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Mesyuarat Koordinasi Jawatankuasa Penguatkuasaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (JKPS) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh yang  dihadiri 23 wakil kementerian dan agensi penguatkuasaan bersidang hari ini telah memutuskan untuk melaksanakan satu lagi Op Patuh secara besar-besaran di seluruh negara.

“Op Patuh mega ini akan membabitkan strategi yang lebih drastik bukan sahaja membabitkan pemeriksaan lebih ketat serta pematuhan menyeluruh tetapi juga menggunkan aset-aset strategik yang ada iaitu helikopter, dron dan juga sekatan jalan raya statik serta bergerak.

“Selalunya, bila kita masuk pintu depan, mereka yang suka mengingkar SOP akan keluar guna pintu belakang tetapi mereka akan dipantau gerak gerinya menggunakan dron dan helikopter pelbagai agensi penguatkuasaan secara lebih tetat dan tegas khususnya membabitkan dua negeri iaitu Selangor dan Kuala Lumpur yang melaporkan kes tinggi,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin becakap pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021.

Tambah Hamzah, JKPS juga menetapkan beberapa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada setiap KPD yang akan bertindak dengan cara  tersendiri dalam melaksanakan Op Patuh.

Mereka akan memberikan laporan perkembangan kepada kementerian secara live dan ia akan dikoordinasikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru katanya, selain sekatan jalan raya, mereka juga akan bertanggungjawab menyerbu dan memeriksa perkilangan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan menguruskan operasi di restoran dan kedai makan.

Sementara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga akan bertanggungjawab memeriksa perniagaan, pengedaran dan peruncitan.

Hamzah seterusnya berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keberkesanan Op Patuh seluruh negara tanpa pertindihan semasa dengan pemeriksaan dilaksanakan pada hari yang sama.

Ahli Parlimen Larut itu juga menegaskan, bagi mengawal dan memantau pergerakan oang ramai, pihaknya akan bekerjasama dengan sekretariat kerajaan Negeri Selangor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam Op Patuh yang mana kedua-dua lokaliti terbabit mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi setiap hari.

“Kita akan meminta pemetaan kawasan tumpuan panas yang mempunyai jumlah perkilangan dan tempat penginapan pekerja yang tinggi dan padat di KL dan Selangor yang mana Op Patuh ini akan mengambil maklumat pemetaan dan aduan diterima dalam Facebook, Warroom dan maklumat risikan agensi penguatkuasaan termasuk dari cawangan khas setiap negeri yang ada di lapangan untuk memastikan aduan-aduan itu benar untuk diambil tindakan,” katanya.

Hamzah juga dalam perkembangan sama berkata, program rekalibrasi yang bertujuan mendaftarkan dan membersihkan pekerja asing tanpa izin (PATI) dan diberi vaksin untuk mencapai imuniti berkelompok terus diperkasakan supaya tidak timbul masalah lain semasa sektor perkilangan dan majikan mula digempur esok.

Namun katanya, hasil risikan pihak berkuasa mendapati ramai daripada PATI  disalahgunakan majikan untuk beekrja demi mengaut keuntungan.

Oleh demikian, katanya, mulai esok pihaknya akan mengambil pendekatan menggempur besar-besaran supaya rakyat memahami kerajaan benar-benar serius dalam memastikan tiada sesiapa dizalimi termasuk pekerja asing.

“Untuk tujuan itu, Op Patuh akan memastikan tangkapan lebih banyak akan dilakukan ke atas majikan kerana hasil maklumat dan akuan yang diambil dari pekerja asing mengaku ada kawan mereka didapati positif Covid-19 tetapi yang lain tidak dikuarantin.

“Semua maklumat ini kita kumpulkan dan akan tangkap majikan juga yang bukan hanya melakukan kesalahan tapi benar-benar menzalimi pekerja mereka.

“Kami memang tak puas hati kerana angka tak nak turun langsung, kita tak puas hati, siapa yang bersalah? Data saintifik yang diperoleh menunjukkan kluster bermula dari hostel, kilang, perniagaan jadi kita perlu melakukan sesuatu untuk menghentikan masalah ini.

“Saya benar-benar marah dengan majikan dan kilang. Kamu tak keluar tetapi suruh orang lain buat kerja dan melakukan kesalahan…dan kasihan kepada mereka yang benar-benar comply duduk rumah,” tegasnya.

Sepanjang pemeriksaan SOP PKP bermula 1 hingga 28 Jun lalu, seramai 744 orang PATI ditahan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Imigresen melalui 169 operasi seluruh negara.

Sementara itu dalam tempoh lima hari dari 25 hingga 30 Jun pula, lebih 125,000 premis kilang, asrama pekerja dan premis perniagaan telah diperiksa dan hasilnya 602 kompuan dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan manakala 60 premis diarah ditutup atas kesalahan ingkar SOP dan PKP.- MalaysiaGazette