Home Nasional Polis nafi warga asing lari dari Mentari Court takut PKPD

Polis nafi warga asing lari dari Mentari Court takut PKPD

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

PETALING JAYA – Polis hari ini menafikan dakwaan pekerja kilang warga asing yang tinggal di Mentari Court di sini telah meninggalkan kediaman mereka susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai dakwaan kejadian yang kononnya berlaku semalam.

Siasatan polis dilakukan dengan syarikat terbabit mendapati berlaku salah faham antara wakil syarikat dengan pekerjanya yang tinggal di Mentari Court.

“Pemantauan kami juga mendapati tiada pekerja warga asing yang keluar meninggalkan kawasan perumahan ini seperti yang tular menerusi satu video di media sosial.

“Malah, kami sudah melakukan pemantauan di kawasan ini sebelum pengumuman PKPD di lokasi ini dikeluarkan bagi memastikan keadaan terkawal tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di Mentari Court di sini tengah malam tadi.

Terdahulu, satu video berdurasi 33 saat memaparkan sekumpulan penghuni Mentari Court dipercayai pekerja kilang didakwa cuba meninggalkan kawasan itu sambil membawa barangan peribadi.

Dalam video berkenaan juga terdapat beberapa penduduk setempat dan pengawal keselamatan kelihatan cuba menghalang pergerakan keluar penghuni disyaki warga asing itu.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Fakhrudin menambah, seramai 84 pegawai dan anggota polis dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia akan melakukan kawalan keselamatan di Mentari Court yang dihuni kira-kira 17,000 penghuni dengan keluasan kawasan 1.6 kilometer persegi.

Ujar beliau, daripada 17,000 penghuni berkenaan, 40 peratus daripadanya merupakan warga asing yang bekerja di kilang industri di kawasan berhampiran.

Selain itu, kami turut dibantu agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Pejabat Tanah Daerah (PTD) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tugas-tugas perlaksanaan PKPD.

“Pemasangan dawai kawat duri di kawasan ini akan dilakukan oleh anggota tentera bermula jam 9.30 pagi ini manakala ujian saringan Covid-19 terhadap penduduk pula akan dijalankan secara berperingkat bermula Jumaat nanti,” ujarnya.-MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

1 Komen

Comments are closed.