FENOMENA angkat bendera putih telah menjadi tarikan pada masa ini. Semakin hangat apabila menjadi polemik di kalangan masyarakat dengan menggunakan medium sosial di Facebook, aplikasi Whatsapp dan sebagainya.
Pelbagi reaksi sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Jika mengikut maksud asal menaikkan bendera putih menandakan simbol kedamaian. Biasanya digunakan dalam medan perang apabila salah satu pihak mengangkat simbol putih untuk mencari cara perdamaian, dengan kata mudah mengaku kalah dan memerlukan perlindungan.
Ada juga simbol warna putih ini menjadi simbol kematian. Biasanya budaya ini digunakan oleh etnik di Sabah. Selain itu, semasa sambutan Muharram khususnya perarakan tabut, dalam kalangan Jawi Peranakan (mamak) bermazhab Syiah yang menyambut upacara perkabungan Karbala.
Simbol warna putih telah digunakan sebagai simbolik dan kumpulan ini berperanan sebagai persatuan yang mengendalikan urusan kenduri-kendara, perkahwinan, kematian dan macam-macam lagi.
Ada juga kisah antara kongsi gelap Cina dengan samseng Melayu di Pulau Pinang sewaktu ketika dahulu. Kongsi gelap Cina di kenali sebagai geng bendera putih, manakala geng samseng Melayu digelar sebagai kumpulan bendera merah.
Sebenarnya simbol bendera putih ini bukan hanya membawa satu maksud sahaja. Ia bergantung kepada situasi semasa dan niat sesuatu pihak.
Situasi pelancaran bendera putih pada masa kini untuk mengenalpasti mana masyarakat yang begitu terjejas dengan keadaan lockdown kerana berdepan dengan pandemik Covid-19.
Simbol putih sebagai penanda bahawa pihak yang mengangkat bendera memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak sekeliling. Dari satu sudut, tindakan sedemikian memudahkan pihak tertentu untuk menyalurkan apa-apa ehsan, demi kerja murni.
Namun, ada juga pihak akan berpandangan sebaliknya, terutama jiran tetangga, tok penghulu, wakil rakyat dan pihak berkepentingan akan berasa tidak selesa dengan sikap masyarakat mengangkat bendera putih.
Mungkin tindakan sedemikian akan berasa tercabar bagi pihak mereka. Jika ada pihak angkat bendera putih, seolah-olah mereka dilihat gagal dan memberi tamparan hebat dek kerana tidak menjalankan tanggungjawab serta amanah yang sedang mereka pikul.
Dari satu sudut, orang tidak tahu apa yang sedang susah dalam keadaan kita. Penglihatan secara zahir tidak akan sama secara batil. Mungkin pengukuran mereka berdasarkan bentuk rumah dan kereta apa yang dipakai.
Ketika musim terputus pendapatan, semua dilihat telah menjadi jerat kepada semua pihak. Mungkin perut si bapa dan si ibu akan dapat bertahan, namun bagaimana perut si anak-anak. Keadaan pada kini, boleh dikatakan sebahagian besar masyarakat terjerat dengan situasi ini.
Apa pun isu bendera putih ini ia hanya sebagai simbolik sahaja. Jika kita lihat secara negatif maka negatiflah, jika secara positif maka positiflah. Isu yang besar bukan soal bendera putih, hitam, merah atau kelabu.
Isu pokoknya, semangat kekitaan sesama kita perlu dipertingkatkan. Sama ada pihak berkerajaan mahupun pengurusan zakat di negeri perlu berperanan sewajarnya. Semangat kejiranan dan komuniti perlu dipertingkatkan, tidak akan papa kedana kita menghulurkan bantuan sesama manusia.
Usahlah kita berpolemik saling menegakkan benang yang basah. Sudah pasti bahasa orang kenyang dengan bahasa orang lapar amat berbeza.
Yang baik itu adalah milik Allah, yang lemah dan kurang ilmu itu adalah daripada ambo.
Mohd Ridzuan Ibrahim adalah guru yang juga mantan Naib Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas