Home Ekonomi AMMB bayar RM1.8 bilion bagi penyelesaian pertama 1MDB

AMMB bayar RM1.8 bilion bagi penyelesaian pertama 1MDB

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menerima bayaran pertama daripada AMMB Holdings Berhad sebanyak RM1.8 bilion yang telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) bagi sebahagian daripada penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Baki bayaran penyelesaian sebanyak RM1.03 bilion lagi akan dilunaskan oleh AMMB Holdings Berhad pada Disember 2021 dan Julai 2022, masing-masing sebanyak RM515 juta.

Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM18.176 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Dana tersebut telah/akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.8 bilion hutang SRC.

Kementerian Kewangan menambah, setakat 30 Jun 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC).

Namun, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.

Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan akan sentiasa memastikan peruntukan yang secukupnya bagi menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC, untuk menguruskan beban kewangan skandal 1MDB dan SRC. – MalaysiaGazette