Home Seni Hidup Bapa mohon bantuan beli mesin bantuan pernafasan, vaksin untuk anak OKU

Bapa mohon bantuan beli mesin bantuan pernafasan, vaksin untuk anak OKU

Bapa, Muhamad Farid Zamri, 26 (kanan) bersama isteri, Norazlizam Mustafa, 31 (kiri) menunjukkan gambar bayinya, Muhammad Raiyan Muhamad Farid yang mengalami Sindrom Down dan memerlukan bantuan alat mesin pernafasan di Jalan Perdana, Taman Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Belum pun kesedihan akibat kehilangan anak kedua reda, ujian menimpa lagi buat Muhamad Farid Zamri, 26, apabila beliau dikurniakan anak ketiga yang merupakan bayi sindrom down.

Beliau dan isteri, Norazlizam Mustafa, 31, kehilangan anak kedua mereka pada November 2019 kerana meninggal dunia di dalam perut pada usia kandungan tujuh bulan.

Namun baru terbit rasa bahagia apabila mengetahui isterinya hamil lagi, anak bongsu yang diberi nama Muhamad Raiyan lahir tidak cukup pada September lalu.

Kata Muhamad Farid, sebaik dilahirkan doktor telah memberi bayangan anaknya itu memiliki ciri bayi sindrom down dan perlu dipantau perkembangan pembesarannya dari masa ke semasa.

Muhamad Raiyan akhirnya disahkan bayi syurga namun pada masa sama berdepan masalah kesihatan seperti jantung berlubang dan masalah pernafasan serta memerlukan vaksin syngis untuk ketahanan badannya sebagai bayi pramatang.

Sehingga hari ini, Hospital Ampang menjadi rumah tetap Muhamad Raiyan sejak dilahirkan dan belum lagi boleh dibawa pulang ke rumah.

Bapa, Muhamad Farid Zamri, 26, bercakap mengenai banyinya yang Sindrom Down dan memerlukan bantuan alat mesin pernafasan di Jalan Perdana, Taman Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2021.

“Anak saya sudah menjadi dua pembedahan untuk menutup dua lubang di jantung dan ketika ini, dia bergantung dengan mesin bantuan pernafasan. Jika tidak menggunakan mesin itu, pernafasannya menjadi sukar dan berbunyi.

“Pada masa sama, dia juga memerlukan vaksin syngis untuk mengelak jangkitan di paru-parunya kerana Muhamad raiyan merupakan bayi pra matang.

“Sejak dilahirkan, saya baru tiga kali dapat melawatnya manakala isteri tidak lagi dibenarkan melawat buat sementara waktu kerana Hospital Ampang kini menjadi hospital Covid-19,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pandan Perdana di sini hari ini.

Muhamad Farid yang tidak bekerja sejak tiga bulan gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberitahu, beliau kini berdepan masalahan kewangan untuk membeli mesin bantuan pernafasan dan vaksin syngis untuk Muhamad Raiyan.

Jelasnya beliau pernah berniaga sebelum ini berkata, mesin tersebut termasuk bateri berharga RM13,000 manakala harga vaksin untuk lima dos yang diperlukan berharga RM15,000.

“Ketika ini, saya mendapat sumbangan RM3,000 dan perlu mencari jumlah keseluruhan sebanyak RM25,000.

“Sementara itu, bagi kos dua pembedahan dan rawatan di hospital, jumlahnya kami belum dimaklumkan lagi dan perlu menunggu bila selepas anak saya dibenarkan keluar hospital selepas mempunyai mesin bantuan pernafasan di rumah,” katanya sambil memberitahu isteri merupakan suri rumah dan perlu berulang-alik ke hospital.

Bayi Muhammad Raiyan Muhamad Farid yang mengalami Sindrom Down dan memerlukan bantuan alat mesin pernafasan di Jalan Perdana, Taman Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2021.

Muhamad Farid mengakui, beliau dan isteri bersyukur kerana walaupun tidak mempunyai pendapatan ketika ini, rezeki mereka sekeluarga tetap ada kerana mendapat bantuan beras dan barang keperluan dapur daripada pihak yang prihatin.

Beliau juga berkata belum pernah membuat permohonan di Baitulmal gara-gara kekangan PKP selain perlu memberi memberi tumpuan kepada anaknya di hospital.

Cuma harapan besarnya, beliau mahu Muhamad Raiyan kembali pulih sepenuhnya dan terdapat pihaknya yang dapat memberi sumbangan untuk membeli mesin bantuan pernafasan dan vaksin syngis untuk Muhamad Raiyan.

“Jika ada mereka yang bermurah, saya bersyukur sangat. Tetapi saya tidak benda untuk membalas kebaikan sebab kehidupan saya pun begini.

“Cuma yang mampu hanya berdoa agar Allah SWT membalas kebaikan semua,” katanya yang memiliki anak sulung berusia empat tahun.

Sementara itu, mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Muhamad Raiyan dan keluarganya, boleh menghubungi talian atau Whatsapp di +60 11-1158 5156.

Sumbangan pula boleh disalurkan kepada Maybank – 162414177392 (MUHAMAD FARID BIN ZAMRI). – MalaysiaGazette

Bapa, Muhamad Farid Zamri, 26 (kiri) bersama isteri, Norazlizam Mustafa, 31 (kanan) dan anak, Nur Raisya Muhamad Farid, 4, memerlukan bantuan alat mesin pernafasan untuk bayinya, Muhammad Raiyan Muhamad Farid yang mengalami Sindrom Down di Jalan Perdana, Taman Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2021.