Home Utama Bendera putih: Jiran perlu bergerak – Khairuddin

Bendera putih: Jiran perlu bergerak – Khairuddin

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menyusun barangan asas di rak pada Program Amal Kongsi Rezeki yang diusahajan oleh Majlis Getah Malaysia (MR ) dan Yayasan Amal Malaysia di Komoditi Legasi Sabasun HyperRuncit Kampung Baru, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 JULAI 2021

KUALA LUMPUR – Ketua kampung dan jiran tetangga memainkan peranan penting untuk memastikan tidak ada sesiapa dalam suatu kawasan putus bekalan makanan dalam tempoh kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Merujuk kepada kempen bendera putih, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, secara tidak langsung ia akan memberi persepsi negatif kepada jiran yang dilihat tidak prihatin antara satu sama lain.

“Jiran juga perlu bergerak, kalau angkat bendera putih seolah-olah jiran kiri kanan tidak ambil tahu hal mereka. Memalukan jiran-jiran sepatutnya jiran membantu.

“Macam mana ada yang angkat bendera putih, jiran kiri kanan tidak tahu ke masalah jiran? Ini boleh menimbulkan satu imej tidak baik kepada jiran tetangga.

“Jiran kena segera bantu, jangan sampai jiran angkat bendera putih,” katanya ketika ditemui semasa melancarkan Program Amal Kongsi Rezeki oleh Majlis Getah malaysia (MRC) dan Yayasan Amal Malaysia (YAM) di Legasi Sabasun HyperRuncit, Kg Baru hari ini.

Jelas beliau, jiran dan ketua-ketua masyarakat termasuk ketua kampung yang mengetahui tentang kesusahan dan keperluan sesebuah keluarga boleh menggunakan agensi kerajaan  khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu.

Terdahulu, beliau tidak menolak kempen bendera putih yang akan memberikan gambaran negatif kepada kerajaan.

“Kita ambil pro and kon, positifnya orang tahu bila kita angkat bendera putih kita memerlukan, negatifnya pula seolah-olah rakyat setempat tidak dibantu oleh kerajaan.

“Kalau kawasan saya sendiri kita buat program bantuan dari dulu sampai sekarang, ketika PKP berganda permintaan. Yang penting semua ketua masyarakat di peringkat mana sekalipun di kampung, termasuk ketua kampung bergerak bantu rakyat dengan talian hotline. Kerajaan menyediakan hotline yang banyak itu cara kerajaan bekerja

“Bagi saya, saya lebih menyokong kita bantu rakyat dengan talian hotline kita boleh hantar barang tanpa mereka perlu mengangkat bendera putih,” ujarnya lagi.

Semalam Ahli parlimen Kuala Nerus itu meminta penduduk di kawasannya tidak mengangkat bendera putih bagi meminta bantuan.

Sebaliknya, dia meminta mereka menghubungi wakil-wakil di kawasan Dewan Undangan Negeri untuk melaporkan kesulitan yang dihadapi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pula dilaporkan berkata, kerajaan negeri itu tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih oleh individu sebagai tanda memerlukan bantuan makanan sepanjang tempoh PKP ini.

Sebaliknya tambah beliau berkata, pihaknya hanya menyalurkan bantuan makanan kepada individu yang membuat aduan secara rasmi melalui panggilan telefon di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) seluruh daerah di negeri tersebut. – MalaysiaGazette