Home Nasional Gagal sedia pengimbas suhu, pemaju dikenakan kompaun RM10,000

Gagal sedia pengimbas suhu, pemaju dikenakan kompaun RM10,000

Anggota polis membuat serbuan di kediaman pekerja kontraktor ketika dalam satu operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebuah tapak pembinaan di sekitar Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Dang Wangi hari ini mengeluarkan satu kompaun berjumlah RM10,000 terhadap sebuah syarikat pembinaan di Jalan Pudu, di sini kerana melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kompaun itu dikeluarkan setelah mendapati pihak pengurusan syarikat gagal menyediakan alat pengimbas suhu di tempat kediaman pekerja.

“Lawatan ke tapak pembinaan pertama (Jalan Pudu) kita mendapati ada pelanggaran dan kita telah mengeluarkan kompaun kerana mereka gagal menyediakan pengimbas suhu badan di tempat tinggal mereka.

“Jadi kita keluarkan kompaun RM10,000 ke atas pemaju kerana kegagalan mereka menyediakan pengimbas suhu tersebut, itu yang jelas,” katanya kepada pemberita di tapak pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) di Jalan Kia Peng, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah hadir dalam satu operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebuah tapak pembinaan di sekitar Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2021.

Terdahulu beliau mengetuai Operasi Bersepadu Pematuhan SOP PPN bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di tapak bina Jalan Pudu dan Jalan Kia Peng, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu juga, pihaknya turut menemui kesalahan lain di bawah Akta 446 di mana JTK telah mengambil tindakan terhadap pemaju kerana tidak memenuhi standard minimum keperluan kemudahan di tempat penginapan.

“Jadi JTK akan memberikan notis supaya mereka menambah baik di tempat penginapan pekerja tersebut.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk menutup tempat tersebut di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta 342 sekiranya mereka masih berdegil dan gagal memenuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” jelasnya.

Sementara itu, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP di tapak pembinaan MRT di Jalan Kia Peng dari segi keselamatan mahupun pematuhan kepada Akta 342.

“Kita sangat berpuas hati di mana setiap pekerja yang memasuki kawasan tapak bina ini diambil suhu, mengimbas kod QR MySejahtera.

“Kita telah turun sampai ke bawah 12 tingkat dan semasa mereka bekerja juga kita berpuas hati semua pekerja yang menjalankan kerja-kerja pembinaan ini menggunakan pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja membuat serbuan di kediaman pekerja kontraktor ketika dalam satu operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebuah tapak pembinaan di sekitar Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2021.

Katanya lagi, pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang kompaun susulan tinjauan hampir sejam itu tidak menemui sebarang kesalahan dan pelanggaran SOP PPN.

“Setelah saya menemubual pihak pengurusan, mereka mengatakan setakat ini belum ada jangkitan Covid-19, di mana pekerja mereka positif, memang belum ada lagi.

“Saya rasa ini satu standard sangat baik yang telah diamalkan oleh syarikat ini dalam memenuhi tuntutan yang telah ditetapkan oleh KKM, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan CIDB yang mengawal tapak pembinaan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette